
Lima faktor yang dapat menjelaskan mengapa UMNO masih kaku
- 23 Oktober 2022
- Politik

Walaupun ada penganalisis politik mendakwa UMNO berjaya mengembalikan sokongan rakyat kepadanya, setakat ini belum ada bukti yang kukuh untuk mengesahkan andaian itu. Malah, sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, UMNO-Barisan Nasional masih berada di takuk lama. Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin merasakan dirinya bijak apabila berjaya memaksa pilihan raya umum ke-15 diadakan tetapi partinya masih gagal menarik minat pengundi.
Malah, pengundi Malaysia sedar ada sesuatu yang tak kena.
Ada sekurang-kurangnya lima faktor yang dapat menjelaskan mengapa UMNO masih kaku dan beku walaupun para pemimpinnya cuba menonjolkan wajah penuh yakin untuk memenangi PRU15.
Pertama, #undibanjir
Pada mulanya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri bersama para penasihat medianya bersetuju dengan pandangan Pembangkang dan rakyat bahawa PRU tidak patut diadakan ketika musim tengkujuh dan banjir. Tetapi mereka mengubah fikiran selepas itu. Ini menyebabkan pengundi sedar dan tahu bahawa UMNO lebih mengutamakan kepentingan para pemimpin mereka daripada keperluan rakyat. Yang jelas, pengundi tidak berkenan dengan cara UMNO.
Kedua, UMNOlah punca ketidakstabilan politik negara
Naratif UMNO mudah sahaja. Baginya, ketidakstabilan yang berlaku hari ini akan hanya dipulihkan sekiranya ia dapat mengembalikan Malaysia ke “era gemilang” pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan UMNO sebagai kuasa paling dominan di negara ini.
Sayangnya hujah ini tidak berpijak di bumi yang nyata. Sejak 2018, UMNOlah yang menjadi punca ketidakstabilan politik negara. Ia telah bersekongkol dengan beberapa individu dalaman untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan. UMNO jugalah yang menumbangkan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sedangkan ia sendiri merupakan rakan komponen dalam kerajaan tersebut. Lebih awal dari itu, sekitar 2018-2020, strategi UMNO membakar hangus bumi dengan mengapi-apikan politik perkauman telah membangkitkan rasa curiga antara rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Ketiga, dana jentera UMNO semakin susut
UMNO tidak pernah berkempen tanpa mempergunakan jentera kerajaan. Walaupun jentera kerajaan sepatutnya menjadi milik rakyat, dan bukannya parti, itulah yang sering dilakukan oleh UMNO pada setiap PRU.
Kini suasana sudah berubah. Walaupun Perdana Menteri Sementara masih merupakan ahli UMNO, keadaannya berbeza dengan pegawai dan kakitangan kerajaan yang tidak lagi memihak kepada UMNO seperti zaman dahulu. Tiada siapa yang tahu gabungan mana yang akan menubuhkan kerajaan selepas PRU ini.
Sewaktu PRU 2013 dan PRU 2018, UMNO bergerak dengan wang yang dibawa oleh Najib yang diambilnya daripada dana 1MDB. Kini Najib sudah berada di dalam penjara dan terpaksa membayar denda yang besar. Zahid pula tidak mempunyai terlalu banyak wang untuk membiayai kempen UMNO di seluruh negara. Yang jelas, UMNO sedang menghadapi masalah kewangan.
Saya rasa kalaupun kem Ismail Sabri mempunyai dana, mereka tidak akan berbelanja besar jika tiada jaminan beliau akan kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 ini. Ini bermakna UMNO yang sebelum ini sudah biasa dengan amalan “ada wang semua boleh jadi” kini terkesan dengan sumber kewangan yang sudah susut.
Keempat, pertikaian dalaman UMNO
Sejak rampasan kuasa Sheraton pada 2020, UMNO sudah berpecah dua, di antara kluster mahkamah dan kluster menteri. Dalam dua minggu ini kita akan menyaksikan perang dalaman selepas calon-calon UMNO untuk PRU15 diumumkan.
Zahid telah menyatakan bahawa beliau mahu meletakkan 70% muka baharu untuk bertanding. Mudah cakap, sukar dilaksanakan. Struktur UMNO berteraskan kekuatan Bahagian, dan di sana ada banyak Ketua Bahagian yang boleh dianggap sebagai panglima parti di bahagian masing-masing. Ramai antara mereka telah berkecimpung dalam politik sejak awal 1980-an, iaitu sewaktu kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sesetengah Ketua Bahagian UMNO sekarang merupakan pemimpin Pemuda UMNO apabila Najib dipilih menjadi ketuanya dalam pertandingan parti yang penuh kontorversi pada 1987. Merekalah yang memberi sokongan kepada Najib, dan mereka jugalah yang memastikan Najib kekal berkuasa apabila dia mula kehilangan pengaruh sepanjang 2015 hingga 2018.
Jika Zahid dengan sewenang-wenangnya mahu menggantikan mereka dengan 70% muka baharu, beliau perlu bersiap sedia menghadapi sabotaj, boikot dan kekecohan dalam parti. Ini tentunya akan memberi kesan kepada prestasi UMNO dalam PRU ini.
Kelima, pengundi takut kemungkinan Zahid menjadi Perdana Menteri
Setakat ini, saya belum menemui mana-mana rakyat Malaysia yang rasa Zahid mampu menjadi seorang Perdana Menteri yang baik. Kebanyakan tinjauan pendapat yag dibuat sejak beberapa tahun lalu menunjukkan bahawa 40% orang Melayu sukakan Najib manakala 40% lagi membencinya. Hampir tidak ada sesiapapun yang mengambil pendirian jalan tengah. Dalam keadaan ini, bayangkan kedudukan Zahid yang tertinggal jauh di belakang apabila dibandingkan dengan populariti imej Bossku.
Kenyataan terbuka Zahid sewaktu berucap di mesyuarat agung tahunan MIC baru-baru ini mendedahkan niat sebenar UMNO mahu mengadakan PRU secepat mungkin. Hasratnya ialah menyelamatkan para pemimpin Barisan Nasional daripada dikenakan tuduhan rasuah jika mereka gagal kembali berkuasa. Sudah tentu pengundi marah mendengar kata-kata beliau, dan ini akan menyulitkan lagi usaha UMNO untuk kembali memegang tampuk kuasa.
Dengan itu, timbul spekulasi bahawa Zahid mungkin tidak bertanding dalam PRU15. Sudah tentu dalam politik, saya tidak menolak sebarang kemungkinan. Namun, saya percaya Zahid tetap mahu menjadi Perdana Menteri. Beliau tidak akan percaya kepada sesiapapun untuk membebaskannya daripada kemungkinan masuk penjara atas tuduhan-tuduhan mahkamah yang dihadapinya sekarang.
Jadi, apabila Zahid mengumumkan Ismail Sabri sebagai “poster boy” Barisan Nasional dalam PRU ini yang bakal kembali menjadi Perdana Menteri, ia dilihat sebagai acah-acah politik sahaja.
Yang menakutkan pengundi ialah Zahid sebagai wajah UMNO yang bakal memegang tampuk kuasa. Ini membayangkan masa depan yang gelap untuk Malaysia.
Semua faktor-faktor ini membuatkan UMNO gagal menarik semula sokongan rakyat yang pernah diperolehinya suatu ketika dahulu. Malah, tiada sebarang sokongan baharu yang diraihnya sejak Parlimen dibubarkan dua minggu lalu.
Liew Chin Tong
23 Oktober 2022
Johor Bahru
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!