
JS-SEZ Adalah Bukti Usaha Persekutuan-Negeri yang Boleh Membawa Negara Maju ke Hadapan

Saya kesal dengan sikap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang masih mahu bermain politik “Johor melawan Kerajaan Persekutuan”. Terkini, beliau menuduh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan mengelirukan mengenai pelan tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dalam suasana harmoni hubungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan, Datuk Onn Hafiz cuba memecahbelahkan persefahaman kedua-dua gabungan ini.
Dalam tulisan saya bertajuk “Fiscal responsibility and constructive federalism” yang disiarkan oleh The Edge Weekly hujung minggu ini, saya menjelaskan mengapa kita perlu mengelakkan pertelingkahan persekutuan atau “adversarial federalism”.
Tidak ada perdana menteri sebelum Dato’ Seri Anwar yang sanggup memberi kuasa dan sumber yang lebih kepada negeri-negeri. Tidak pernah ada Perdana Menteri UMNO yang terfikir tentang idea mewujudkan JS-SEZ. Jika ada, tentunya kerajaan UMNO-BN di pusat dan negeri sejak zaman dulu lagi sudah melaksanakannya.
Dato’ Seri Anwar lebih terbuka mendengar suara negeri-negeri kerana beliau memahami bahawa struktur politik Malaysia bukan lagi arahan dari atas tetapi menerima kerajaan-kerajaan negeri sebagai rakan rundingan. Malah, di peringkat antarabangsa, beliau berpegang kepada prinsip kerjasama antara negara-negara.
Idea mewujudkan JS-SEZ sebenarnya dicadangkan sewaktu Dato’ Seri Anwar melawat Singapura buat kali pertama sebagai Perdana Menteri pada Januari 2023. Lawatan pasca-Covid itu membuka minda kedua-dua pemimpin Malaysia dan Singapura bahawa bekerjasama adalah lebih baik daripada bersaing semata-mata.
JS-SEZ membawa masuk banyak pelaburan ke Johor sepanjang tiga tahun lalu. Ia merupakan bukti kejayaan kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor, bersama Kerajaan Singapura.
JS-SEZ adalah bukti usahasama Persekutuan-Negeri yang boleh membawa negara maju ke hadapan. Datuk Onn Hafiz sebagai Menteri Besar sepatutnya memahami manfaat kerjasama ini dalam bentum “constructive federalism”.
Apa yang menyedihkan saya adalah kempen BN Johor yang menyerang Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri yang komponennya juga BN dan PH. Projek-projek yang sedang di laksanakan dan belum siap, dituduh salah PM. Tetapi yang sudah siap, mengaku dia yang buat. Sedangkan realiti semua projek besar dibuat atas kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor.
Jika Dato’ Onn Hafiz ingat dengan hanya menyerang Kerajaan Persekutuan beliau akan mendapat sokongan pengundi Johor, saya rasa pemahaman beliau terhadap rakyat Johor sangat rendah.
Dan jika, Dato’ Onn Hafiz rasa beliau tidak boleh bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar, maka saya merayu pengundi agar memilih calon-calon Pakatan Harapan untuk memberi peluang membentuk kerajaan negeri baharu yang sedia bekerjasama penuh dengan Kerajaan Persekutuan.
Kongsi artikel ini
Artikel yang berkaitan


- 16 Sep 2025·
Ketidakjaminan Ekonomi Boleh Membawa Kepada Bencana Politik

- 9 Jan 2025·