Adakah Wee Ka Siong mahu bertanding di Ayer Hitam di Johor atau Air Itam di Pulau Pinang?

Ucapan Pengerusi DAP Johor dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong di ceramah Pakatan Harapan Yong Peng pada 24 Februari 2018 (disiarkan kepada media dalam versi bahasa inggeris pada 25 Februari 2018)

Sejak Pakatan Harapan menyelesaikan rundingan kerusi parlimen pada 7 Februari 2018 dan sejak akhbar berbahasa Cina pada 10 Januari 2018 melaporkan DAP akan meletakkan calon di kerusi parlimen Ayer Hitam, Johor, penyandang parlimen itu Wee Ka Siong tiba-tiba menunjukkan minat kepada hal-ehwal Pulau Pinang, terutamanya tentang projek terowong dasar laut, yang beliau ulas hampir setiap hari sejak minggu ketiga Januari 2018.

Saya tertanya sama ada Wee Ka Siong mahu bertanding di Ayer Hitam di Johor atau kerusi Air Itam di Pulau Pinang?

Saya berkata sebegini kerana saya bangkitkan tiga contoh penyalahgunaan kuasa yang menjijikkan oleh pasukan kempen Wee di Ayer Hitam sejak tiga hari lalu. Namun, Wee tidak menjawab persoalan yang saya bangkitkan dan sebaliknya mengarahkan orang bawahannya bertanya kenapa saya tidak bercakap tentang projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Saya rasa agak lucu apabila Wee sebagai Pengerusi MCA Johor enggan menjawab solan berkenaan penyalahgunaan kuasanya di Johor yang saya sebagai pengerusi DAP Johor dan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan bangkitkan.

Tiga kes yang saya bangkitkan sebelum ini:

Pertama, MCA Ayer Hitam menggunakan bangunan Bomba Sukarelawan, yang dibina dengan dana yang diterima daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. Bangunan itu dijadikan pusat kempen di Ayer Hitam.

Kedua, Majlis Daerah Yong Peng menurunkan bendera Pakatan Harapan di kawasan itu namun membiarkan bendera PAS dan BN terus terpasang. Selain itu, satu lagi amalan biasa yang terjadi adalah Wee sering mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor di bangunan Majlis Pejabat Daerah Yong Peng.

Ketiga, MCA Ayer Hitam mempunyai pusat kempen lain yang beroperasi di dalam dewan serbaguna JKKK di Taman Wangi, Yong Peng.

MCA dan UMNO bertindak seolah-olah mereka akan berkuasa beribu tahun di Johor dan menganggap kemudahan awam dan dana kerajaan sebagai sumber kempen mereka. Saya tertanya, tanpa bergantung kepada jentera kerajaan, mampukah MCA atau UMNO berdiri sendiri untuk memenangi hati dan minda rakyat dalam pilihan raya?

Wee Ka Siong yang bersikap seakan-akan dia adalah “pemimpin pembangkang” yang mencabar Ketua Menteri Lim Guan Eng dan kerajaan negeri Pulau Pinang merupakan bukti kegagalan MCA Pulau Pinang bertindak sebagai pembangkang yang efektif sejak 8 Mac 2008.

MCA Johor kini hanya bergantung kepada jentera, harta dan dana kerajaan untuk berkempen. Antara kempen MCA adalah memberitahu pengundi bahawa kononnya mereka akan menerima akibat jika tidak mengundi BN.

Apa yang seharusnya MCA dan UMNO lakukan adalah bersaing dengan Pakatan Harapan dengan memberitahu rakyat Johor siapa yang mampu berkhidmat kepada rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang dan melalui dasar-dasar yang bagaimana.

MCA dan UMNO Johor perlu cepat belajar untuk menjadi parti pembangkang yang baik sekiranya mereka hilang kuasa. Atau mereka akan menjadi seperti Wee Ka Siong yang mejadi penyandang parlimen di Ayer Hitam di Johor dan tiba-tiba ke Air Itam di Pulau Pinang, berlakon sebagai pemimpin pembangkang di Pulau Pinang kerana MCA, Gerakan dan UMNO gagal menjadi pembangkang yang berkesan di Pulau Pinang sejak sedekad lalu.

Sekiranya Wee masih mahu bertanding di Ayer Hitam di Johor, saya mencadangkan agar dia mula menjawab soalan saya dan menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang membayar cukai alasannya menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan premis awam yang dijadikan pusat kempen kerana semua ini terjadi di bawah jagaannya di kerusi parlimen yang disandangnya.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi