Sdr Pang Hok Liang, anak tempatan veteran DAP jadi calon Labis

Kenyataan Media oleh Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, di Labis pada 20 April 2018

 

Keputusan DAP memilih saudara Pang Hok Liong sebagai calon Pakatan Harapan untuk Parlimen Labis mungkin mengejutkan sesetengah wartawan dan pemerhati politik. Ini adalah kerana kebanyakan mereka menjangka “nama besar” politik akan ditampilkan.

 

Sebenarnya strategi dan taktik pilihanraya umum DAP bersama Pakatan Harapan tidak terikat kepada satu atau dua kaedah sahaja. Ia mempunyai pelbagai bentuk yang perlu mengambil kira banyak perkara termasuk keadaan geografi, demografik pengundi dan kewibawaan calon.

 

Walaupun Sdr Pang, 61, dianggap tidak dikenali di kalangan pemerhati politik di luar Johor, beliau merupakan veteran politik yang popular di kalangan penduduk tempatan, terutama di kawasan tengah Johor. Dengan kata lain, namanya memang “besar” di kalangan orang Labis.

 

Malah, beliau pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bekok pada usia 33 dalam PRU 1990 untuk menjadi ADUN di Johor.

 

Beliau sentiasa aktif bersama parti dan rakan-rakan seperjuangan sejak era Barisan Alternatif kepada Pakatan Rakyat hinggalah Pakatan Harapan pada masa ini.

 

 

Sebenarnya, Sdr Pang sepatutnya menjadi calon untuk Parlimen Segamat pada PRU 2013 tetapi pada saat-saat terakhir kerusi tersebut kekal menjadi milik rakan komponen gabungan pembangkang, iaitu PKR.

 

Beliau tenang menerima keputusan itu dan tetap melaksanakan tanggungawab membantu kempen Pakatan. Malah, selepas PRU13, beliau terus memberi khidmat kepada penduduk tempatan walaupun sibuk dengan tugas-tugasnya sebagai peguam.

 

Untuk PRU ke-14 ini, Sdr Pang sudah bersiap sedia untuk berkempen bagi mana-mana calon Pakatan Harapan. Beliau tidak menyangka Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP akan memberi mandat untuk bertanding di Labis.

 

Pada masa yang sama, saya bagi pihak pucuk pimpinan parti bersyukur kerana Sdr Pang sudi menerima keputusan itu kerana menyedari Labis bukan laluan mudah untuk Pakatan Harapan.

 

Bagi saya, pemilihan Sdr Pang sebagai calon merupakan keputusan yang tepat dan bijaksana memandangkan beliau sememangnya anak kelahiran Labis.

 

Walaupun mempunyai pejabat guaman di Segamat, Sdr Pang sentiasa pulang ke Labis menziarahi ibunya yang masih menetap di kampung halamannya.

 

Walaupun hanya sepenggal sebagai ADUN serta berkhidmat sewaktu Barisan Nasional merupakan gabungan parti pemerintah yang kuat, Sdr Pang bekerja keras dan berdisplin dalam menjalankan tugasnya.

 

Pada era di mana Dewan Negeri tidak menghadkan jumlah pertanyaan, beliau telah mengemukakan lebih 600 soalan sepanjang lima tahun khidmatnya yang mana semuanya berhubung kepentingan dan keperluan warga Bekok dan Labis, dan Johor amnya.

Sebagai ahli politik berpengalaman, peguam yang berwibawa dan aktivis masyarakat yang dikenali masyarakat tempatan, saya yakin Sdr Pang adalah pilihan terbaik untuk pengundi Labis.

 

Bersama dengan semua cawangan DAP di Labis dan rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan tanpa mengira kaum, gender dan usia, beliau bersedia untuk memberi khidmat terbaik untuk Labis, Johor, dan Malaysia.

 

Sama-sama kita menangkan Labis demi perubahan.

#kitamestimenang
#tsunamiHARAPAN

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi