Janji 3 juta pekerjaan oleh BN: Untuk siapa?

Kenyataan media oleh bakal calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Ayer Hitam merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong, di Ayer Hitam pada Rabu 5 April 2018

 

Manifesto Barisan Nasional berjanji untuk menawarkan 3 juta pekerjaan jika diberi mandat untuk terus kekal menjadi kerajaan. Persoalannya ialah, untuk siapakah 3 juta peluang pekerjaan itu disediakan?

 

Laporan Tahunan 2017 Bank Negara yang dikeluarkan bulan lalu mendedahkan bahawa 81.5% atau 8 daripada 10 peluang kerja yang diwujudkan di Malaysia pada 2016 telah menjadi milik pekerja asing.

 

Ia merupakan peningkatan yang sangat tinggi kerana pada tahun sebelumnya, iaitu 2015, 64.4% pekerjaan telah pun diisi oleh pekerja asing.

 

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku? Sebabnya ialah kerana dasar kerajaan BN yang terlalu bergantung kepada pengeluaran yang mempunyai kos rendah dan bergaji rendah. Ini tentunya menjejaskan usaha menambah produktiviti serta mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi dan menawarkan gaji lebih tinggi.

 

Malah, Bank Negara turut mendedahkan bahawa pekerja asing menghantar keluar wang ke negara asal mereka yang menyebabkan kurang limpahan dalam ekonomi Malaysia. Jumlah kiriman wang ke luar negara pada 2017 berjumlah RM35.3 bilion!

Kerajaan BN menjadi punca lambakan pekerja asing yang telah menyebabkan gaji pekerja Malaysia gagal ditingkatkan dengan sewajarnya. Oleh itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan jumlah pekerja asing sebanyak 2 juta orang, iaitu daripada 6 juta kepada 4 juta, dalam penggal pertama pentadbiran Harapan.

 

Pakatan Harapan mahu memberi keutamaan kepada warga Malaysia, terutamanya anak muda dan para siswazah. Manifesto Harapan menyatakan usaha untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk warga Malaysia.

 

Saya sendiri telah mengulas pada Julai 2015 tentang seorang graduan undang-undang bernama Zahra telah berucap di hadapan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kini Tan Sri Muhyiddin berjuang bersama dengan Pakatan Harapan. Dalam ucapan ringkasnya yang ditularkan melalui klip video selama 6 minit, Zahra meluahkan rasa hati seorang siswazah yang terpaksa hidup kais pagi makan pagi.

 

Memang siswazah menjadi mangsa sistem ekonomi BN yang lebih mengutamakan pekerja asing kurang mahir berbanding graduan mahir Malaysia yang sepatutnya menjadi tonggak ekonomi negara.

 

Saya telah mengemukakan usul supaya penstrukturan semula ekonomi Malaysia secara drastik dilaksanakan segera. Untuk menjayakannya, ia memerlukan satu perkitaran yang baik untuk pekerjaan yang pendapatan tinggi, kemahiran tinggi, dan produktiviti tinggi. Keadaan ini hanya boleh dicapai apabila Malaysia tidak lagi bergantung kepada buruh asing yang kurang mahir.

 

Ini adalah kerana hampir semua sektor di Malaysia seolah-olah tidak menghargai kemahiran, tidak membangunkan teknologi baru, dan tidak berminat dalam inovasi. Mereka hanya mahu jalan pintas dengan mengambil pekerja asing kurang mahir atas alasan boleh dibayar gaji rendah serta tanpa perlu menyediakan perlindungan pekerjaan yang lengkap, kononnya untuk menjimatkan.

 

Ia bukan salah industri semata-mata. Mereka juga mengalami tekanan kerana tidak mendapat sokongan kerajaan dari segi kewangan untuk automasi serta peningkatan taraf mesin. Amat sedikit usaha dilaksanakan ke arah Kajian dan Pembangunan (R&D) di negara kita.

 

Peluang pekerjaan berkualiti dan pengurangan kebergantungan kepada pekerja asing boleh dillaksanakan segera apabila sebuah kerajaan baru yang penuh komitment sanggup untuk:

• Menghapuskan kronisme yang memperolehi manfaat daripada hasil import pekerja asing kurang mahir;
• Mengurangkan jumlah pekerja asing kurang mahir dalam ekonomi kita, terutamanya dalam sektor perkhidmatan; dan
• Mewujudkan satu agenda rakyat Malaysia untuk memperuntukkan sumber bagi memacu momentum ke arah peningkatan kemahiran dan teknologi.

 

Hanya perubahan ekonomi yang berteraskan rakyat dan warga Malaysia akan memulihkan keadaan. Tiada gunanya jika BN mewujudkan 3 juta pekerjaan yang akhirnya akan dimiliki pekerja asing, sedangkan siswazah tempatan terus menganggur dan diabaikan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi