Mengangkat Pemimpin Berdaya Tahan dan Berwawasan

TEKS UCAPAN TIMBALAN MENTERI PERTAHANAN LIEW CHIN TONG DI HARI PERBARISAN MAKTAB TENTERA DIRAJA PADA 22 DISEMBER 2018———–


Terima kasih kerana sudi memberi saya peluang untuk menyampaikan ucapan kepada kumpulan belia ini yang bakal memimpin masa depan negara tercinta ini. 


Pada pagi ini, saya tidak ingin membicarakan politik; sebaliknya ingin menyampaikan beberapa pengajaran penting melalui tiga buku. 


Bagi saya, pemimpin yang tidak membaca lazimnya bergantung semata-mata kepada khabar angin, lalu tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Oleh itu, sebaik-baiknya sebagai Pemimpin, kita harus banyak membaca. 


Maktab Tentera Diraja merupakan satu institusi pendidikan yang cukup istimewa, di mana pendidikan akademik digabungkan dengan pendidikan ketenteraan untuk melahirkan individu dengan ciri-ciri menyeluruh (ataupun holistik) untuk berkhidmat untuk negara. 


Sewajarnya, sekolah-sekolah lain perlu menjejaki teladan MTD yang cemerlang. 

Kehebatan ini sudahpun dicerminkan dalam motto Maktab: Berkhidmat Memimpin, ataupun Serve to Lead. 


Ungkapan ini menggambarkan usaha kepimpinan itu sebagai satu perkhidmatan kepada rakyat. 


Dan pada tahun ini, saya difahamkan juga bahawa tema Hari Perbarisan buat kali ini ialah “Memperkasa Pemimpin Masa Depan” – “Empowering Future Leaders”. 


Tema dan motto ini pula membawa kita kepada satu persoalan yang cukup mencabar: bagaimanakah konsep kepimpinan sebagai satu perkhidmatan kepada negara akan berubah dalam masa yang akan datang?


Maktab ini sudahpun mewujudkan satu warisan yang cukup mengkagumkan. Alumni Maktab bukan sahaja menjawat jawatan-jawatan tertinggi ketenteraan, malah turut berkhidmat sebagai penjawat awam, ahli korporat, negarawan dan ahli akademik. 


Misalnya, Professor KS Jomo, salah seorang pakar ekonomi negara yang terkenal , Tan Sri Abdul Halim bin Ali, mantan Ketua Setiausaha Negara, Saudara Radzi Jidin, rakan sebaya saya ketika belajar di Canberra, Australia dulu dan kini Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, dan tidak lupa juga, menteri yang termuda dalam sejarah Malaysia, Saudara Syed Saddiq, Menteri Belia dan Sukan. Mereka semua merupakan teladan yang cukup mencabar untuk diikuti. 


Tetapi, apakah maksud sebenar berkhidmat memimpin? Dalam menjawab persoalan ini, saya merujuk kepada tiga karya yang setiap satunya membawa pengajaran yang cukup penting: Leadership: Lessons from the Presidents for Turbulent Times karya Dorris Goodwin, yang jelas menunjukkan bagaimana keadaan sukar itu melahirkan pemimpin yang termasyhur, What Money Can’t Buy karya Michael J. Sandel yang membawa amaran tentang trend baru dunia yang semakin terikat dengan kecekapan pasaran semata-mata, dan akhir sekali, Dare Not Linger, biografi Nelson Mandela karya Mandla Langa, yang membincangkan kepentingan merendah hati dan pengawalan diri (ataupun self-restraint). 


Daripada karya Dorris Goodwin, kita mengetahui bahawa pemimpin yang unggul lazimnya terbentuk ketika krisis. Penulis merujuk kepada empat Presiden Amerika Syarikat untuk menjelaskan tesis ini: Abraham Lincoln, Theodore Roosevelt, Franklin Delano Roosevelt, and Lyndon B. Johnson. 
Setiap presiden ini menempuhi cabaran peribadi yang berlainan, di samping memimpin negara dalam keadaan sengsara. Lincoln dan Johnson misalnya perlu mengawal huru hara di seluruh Amerika Syarikat akibat ketegangan kaum. Theodore Roosevelt menghadapi cabaran peralihan ekonomi ketika Revolusi Perindustrian Pertama dan Mogok Arang (ataupun Coal Strike), manakala Franklin D. Roosevelt pula terpaksa mengendalikan pengaturan peperangan Amerika Syarikat di kedua-dua medan Perang Dunia Kedua sambil menderita daripada penyakit polio.


Walaupun menghadapi pelbagai cabaran peribadi dan cabaran dunia ini, setiap pemimpin menyahut cabaran tersebut dengan berani dan  berjaya menyelesaikan setiap krisis.  Lincoln memenangi Perang Saudara Amerika dan membebaskan hamba kulit hitam; seratus tahun kemudian, Johnson pula memimpin usaha untuk menjamin kebebasan ini serta mewujudkan kesaksamaan melalui gerakan hak asasi manusia. Theodore Roosevelt pula sangat terkenal sebagai Presiden yang menggiatkan pemuliharaan alam melalui penubuhan sistem Taman Negara di Amerika, manakala Franklin D. Roosevelt pula telah memimpin Kuasa-Kuasa Bersekutu kepada kemenangan, sekaligus mengukuhkan kedudukan Amerika Syarikat sebagai salah satu kuasa besar, satu status yang masih kekal sehingga hari ini. 


Natijahnya, kita sewajarnya menyahut seruan untuk mencabar diri supaya menjadi pemimpin yang baik. Keberanian untuk berbuat demikian merupakan satu cara yang baik untuk kita mengembangkan keupayaan diri untuk terus mara ke hadapan.  


Dalam karya seterusnya oleh Michael J. Sandel, What Money Can’t Buy, kita lihat dengan jelas trend baru dunia yang semakin mengetepikan prinsip dan moral kemanusiaan demi kecekapan pasaran (ataupun market efficiency) semata-mata, seolah-olah sifat-sifat kemanusiaan kita tidak lagi penting. 


Walaupun begitu, kita perlu ingat bahawa kemanusiaan kita ini tidak bergantung kepada akal dan daya mantik kita sahaja.


Malah, empati dan simpati turut merupakan komponen penting dalam kesedaran kita. Khususnya, emosi-emosi sebegini penting kepada pemimpin kerana hakikatnya, apa-apa jua keputusan kita akan membawa implikasi kepada para pengikut juga dan rakyat secara umumnya. 


Sikap bermoral dan berprinsip ini akan membantu kita membuat keputusan yang betul, serta mendorong kita untuk menentang mereka yang bertindak secara salah. 9 Mei merupakan titik permulaan baru untuk kita; oleh itu, kita perlulah bersedia untuk mengamalkan amalan  amar makruf, nahi mungkar, iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kejahatan.  


Akan tetapi, ini tidak bermakna kita perlu berdegil dengan pendirian kita sahaja dan terlalu bermegah diri. Malah, kita perlu mengakui hakikat dunia baharu ini yang sentiasa berubah. Oleh itu, kita pun perlu berubah mengikut keperluan masa. 


Dengan itu, kita perlu menerapkan nilai yang dibawa oleh karya Dare Not Linger yang mengisahkan kehidupan Nelson Mandela selaku Presiden Afrika Selatan. Karya tersebut khususnya menekankan sikap rendah diri dan kesanggupan Mandela mengawal dirinya. 


Misalnya, pada permulaan tempoh perkhidmatannya, beliau telah berjanji untuk memegang jawatan untuk satu penggal sahaja, iaitu lima tahun. 

Walaupun beliau cukup berkuasa, berpengaruh dan dihormati, beliau turut sedar betapa bahayanya kuasa tersebut.


Pada akhir tempoh perkhidmatan, beliau telah menasihatkan penggantinya: “Do not surround yourself with ‘yes men’ – iaitu pembodek -, for they will do you and the nation incalculable harm. Listen to your critics (dengarkan pengkritik kamu!), for only by so doing will you become aware of the disaffection that ails your people and be able to address them.”


Sikap rendah diri dan kesanggupan untuk mengawal diri ini begitu penting untuk mendorong kita untuk sentiasa menilai diri sendiri. Perkara ini penting untuk kita mengimbangi tindak-tanduk kita dan menyedarkan diri akan kesalahan dan kesilapan kita; sebagai manusia, kita tidak sempurna dan perlulah sentiasa sedar diri.  

Saya teringat kepada pepatah Plato: to know is to know that you know nothing – ini satu peringatan kepada kita semua untuk menyedari bahawa adanya keberangkalian yang kita boleh bertindak salah. Dan jika kita berbuat demikian, sewajarnya kita mengakui kesalahan dan seterusnya memperbaiki keadaan kita.     

Dengan ini, saya harap kita semua memahami beratnya tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Jati diri dan fleksibiliti dalam dunia yang berubah ini sangat penting tetapi perlu saling mengimbangi antara satu sama lain. 

Setiap generasi menghadapi permasalahan ini, dan setiap generasi juga telah mencari penyelesaianya. Maka, kita perlulah ingat bahawa kehebatan itu datangnya daripada kesusahan,  iktikad tinggi itu sangat penting sebagai panduan kepada kebaikan, dan kita perlu sentiasa berendah diri dan mengawal diri.  


Maka, kepada kesemua 251 Putera yang bakal melangkah ke alam dewasa, tahniah dan syabas! Selamat berubah untuk kebaikan! Ingatlah pesanan terakhir saya daripada puisi, Invictus oleh William Ernest Henly:

I am the master of my fate, 
      I am the captain of my soul. 


Puisi ini menjadi satu dorongan kepada Nelson Mandela sendiri. Malah, Winston Churchill pernah juga mengungkapkan puisi tersebut pada peringkat awal Perang Dunia Kedua. Ketika itu, kemenangan Kuasa-Kuasa Bersekutu tidak jamin menang, malah dijangka akan dikalahkan oleh Kuasa Paksi. 


Churchill berkata, “We are the masters of our fate, we are the captains of our souls.”


Sekian, terima kasih.  

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi