

Dengan penuh dukacita saya ingin memaklumkan bahawa salah seorang pendahulu saya sebagai pengerusi DAP Johor, Sdr Ahmad Ton, telah meninggal dunia pada usia 70 tahun, pada jam 6.20 pagi tadi di Batu Pahat.
Anak jati Batu Pahat, Sdr. Ahmad Ton menyertai DAP pada tahun 1975, sewaktu tidak ramai orang Melayu terfikir untuk menyertai DAP. Beliau pernah memberitahu saya bahawa beliau amat tertarik dengan komitmen DAP terhadap politik yang tidak berasaskan perkauman. Namun keluarganya tidak menyokong penyertaan beliau ke dalam DAP, maka beliau mesti menunggu sehingga arwah bapanya meninggal dunia sebelum dapat menyertai parti.
Sdr. Ahmad Ton adalah pengerusi DAP Johor bagi tempoh 2004-2005, Naib Pengerusi (2005-2013) dan seorang anggota jawatankuasa negeri untuk tempoh yang agak lama; juga pernah menjadi Timbalan Setiausaha Agung (2004-2008) serta menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) dari 1982 hingga 2012.
Pada zaman sukar DAP, sejak mula bertanding pada 1982 Sdr Ahmad Ton berjuang tanpa rasa gentar di kerusi-kerusi paling sukar, seperti bekas kubu kuat BN di Tanjung Piai dan Labis.
Perjalanan DAP di bekas kubu Barisan Nasional di Johor bukanlah jalan mudah untuk veteran-veteran parti. Tambah sukar pula menjadi seorang Melayu di dalam DAP, dalam keadaan politik Johor sebelum ini.
Iltizam teguh Sdr Ahmad Toh serta keperwiraan beliau dalam perjuangan bagi sebuah negara yang lebih baik, yang telah merintis jalan bagi Pakatan Harapan untuk berjaya di peringkat nasional dan di negeri Johor.
Ucapan takziah saya buat keluarga Sdr Ahmad Ton atas pemergian beliau. Bagi pihak DAP, saya mengucapkan terima kasih terhadap kesetiaan, khidmat bakti dan pengorbanan beliau selama ini.
Terima kasih komrad, dan selamat jalan sahabat.

Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!