Harapan Baharu Tanjung Piai

Calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng mula berkhidmat di kawasan Parlimen Tanjung Piai sejak 1990’an sebagai pembantu bekas presiden MCA, Ong Ka Ting. Sudah lebih 20 tahun beliau berada di sini, pun begitu semakin ramai penduduk tempatan meninggalkan Tanjung Piai untuk mencari rezeki dan kehidupan yang lebih baik di tempat lain.

Apa sudah jadi?

Selepas membantu Ong Ka Ting, Wee bertanding dan menang di kerusi DUN Pekas Nanas atas tiket BN pada 2004. Pada 2008, beliau menang kerusi Parlimen Tanjung Piai dan mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum 2013. Beliau juga pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada Mac 2008, hingga Jun 2010.

Dengan prestasi yang begitu cemerlang, kita tertanya-tanya apa sudah jadi dengan Tanjung Piai. Kenapa beliau gagal; membangunkan kawasan ini? Kenapa penduduk tempatan meninggalkan kampung halaman tercinta untuk mencari peluang yang lebih baik?

Pontian dan Pekan Nanas kian suram dan hambar di bawah pengawasan Wee Jeck Seng sendiri. Itulah sebabnya beliau kalah dalam PRU ke-14 kepada Pakatan Harapan. Pun begitu, dengan rekodnya yang suram itu, beliau bertegas mahu kembali.

Oleh yang demikian, sebagai Pengerusi DAP Johor, saya komited untuk membantu calon Pakatan Harapan kita, Haji Karmaine Sardini, untuk mengekalkan kemenangan di Tanjung Piai, demi sebuah kesinambungan. Kita perlu memberi nafas baharu kepada kawasan yang begitu indah ini, yang telah diabaikan oleh BN.

Peranan saya ialah untuk memastikan bahawa apabila Hj Karmaine dilantik nanti, beliau akan dibantu untuk memacu usaha ke arah penambahbaikan dan kemajuan di Tanjung Piai.

Usaha meremajakan pekan-pekan kecil di Johor yang melibatkan pasukan saya sejak menyertai politik negeri Johor pada tahun 2013, sudah diketahui ramai. Saya berharap supaya bersama-sama Hj Karmaine, Kerajaan Pusat dan Negeri; kita akan dapat memberi nafas baharu kepada Pontian dan Pekan Nanas.

Politik kami tidak memandang warna kulit – kami percaya bahawa seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum bekerja ke arah satu tujuan. Dan tidak seperti BN, kami menentang permainan perkauman secara pecah-perintah.

Rakyat di Tanjung Piai berhak mendapatkan khidmat yang lebih baik.

Kenyataan media Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong di Tanjung Piai, pada hari Ahad 10 November 2019.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan