Perkukuh Pakatan Harapan, Perkuat Demokrasi

Jika tidak dipecahkan ruyung, mana kan dapat sagunya. Tidak ada yang mustahil dilakukan. Semua ini mengingatkan saya bahawa hidup adalah satu perjuangan.

Saya menyertai DAP pada Disember 1999. Sepanjang dua puluh tahun lalu, kemenangan politik pada 8 Mac 2008 dan 9 Mei 2018 adalah kemuncaknya.

Antara perpecahan Pakatan Rakyat pada Jun 2015 dan pengumuman rasmi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, yang menandakan selesainya penyusunan semula gabungan pembangkang pada 14 Julai 2017; tempoh dua tahun itu adalah amat sukar buat kami.

Ketika waktu yang sungguh menggemparkan itu, usaha memberi harapan kepada penyokong sendiri pun amat sukar kerana ramai yang sudah berputus asa. Ramai yang menyangkakan tiada siapa mampu menewaskan Najib Razak dan Barisan Nasional.

Pun begitu, kita rakyat Malaysia telah mencipta sejarah. Dan lawan kita meneruskan politik perkauman yang memecahbelahkan.

Bulan Oktober lalu adalah suatu tempoh yang sukar. Wujud percubaan untuk menyifatkan DAP sebagai pengganas atau komunis. Wujud juga percubaan untuk membuang DAP dan Amanah daripada kerajaan – suatu komplot yang dicetuskan bekas menteri Hishammuddin Hussein. Barangkali ada juga benarnya dakwaan kewujudan ‘daulah terpendam’ itu.

Tentu sekali, pihak media – yang kini bebas buat pertama kali sejak Merdeka – tidak memihak kepada Pakatan Harapan. Kebebasan media menjadi lesen untuk media tertentu mereka-reka cerita, manakala ramai lagi terus memburukkan keadaan dengan bingkai perkauman.

Saya bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera pada PRU tahun 2008. Ketika itu, Bukit Bendera disifatkan sebagai kerusi sukar. Pun begitu, tsunami politik membadai begitu hebat sehinggakan bukan sahaja saya menang, Pakatan Rakyat turut membentuk kerajaan di Pulau Pinang.

Saya membantu Sdr Lim Guan Eng di Pejabat Ketua Menteri pada 2008-2010 sebagai penasihat dasarnya secara sukarela. Saya menyaksikan sendiri betapa sukarnya usaha-usaha pada peringkat awal itu.

Ramai penjawat awam menyangka kerajaan negeri tidak boleh bertahan. Walaupun kebanyakannya tidak berniat jahat, mereka bimbang untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri baharu, kerana takut ditindas sekiranya kerajaan BN kembali berkuasa.

UMNO Pulau Pinang menyusun protes setiap minggu terhadap Guan Eng dan kerajaan negeri di pejabat beliau, dakwaan mereka semuanya berbentuk perkauman. Setiap hari ada sahaja sentimen perkauman dimainkan dengan niat untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri.

Kemudian pilihan raya kecil Permatang Pauh berlangsung pada bulan Ogos 2008. Ia ditandingi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan beliau memenanginya dengan majoriti yang besar.

Secara tiba-tiba mood penjawat awam Pulau Pinang berubah. Seolah-olah keputusan PRK Permatang Pauh telah menyakinkan mereka bahawa kerajaan negeri pada ketika itu akan kekal lama. Mereka mula percaya bahawa sudah tiba masanya untuk bekerja keras dan melakukan apa yang perlu. Mereka yakin bahawa kerajaan Pakatan ketika itu tidak akan mudah goyang walaupun diserang media yang dikawal BN ketika itu.

Kita seharusnya belajar daripada sejarah. Selepas krisis bulan lepas, saya percaya bahawa masanya sudah tiba untuk kita bekerja ke arah memperkukuh pencapaian demokratik pada 9 Mei tahun lalu.

Saya benar-benar berdoa supaya PRK Tanjung Piai akan menjadi permulaan baharu kepada fasa kedua kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam permulaan baharu ini, saya ingin melihat penjawat awam, anggota masyarakat dan semua pihak sama-sama berkongsi keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Harapan ini akan kekal lama.

Malah pihak lawan juga mesti sedar bahawa sebarang cubaan membentuk kerajaan pintu belakang tidak akan berjaya. Tidak perlu mencuba untuk memecah-belah kerajaan ini pada tempoh separuh penggal.

Saya pasti majoriti rakyat negara ini ingin melihat kerajaan diberi mandat penuh selama lima tahun untuk menjalankan tanggungjawabnya. Ia bermula di sini, di Tanjung Piai.

* Ucapan dalam dialog bersama penduduk di Pontian, pada 13 November 2019

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi