Permulaan Baharu: Membina Malaysia yang Lebih Baik

Terima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang sudi meluangkan masa untuk bersama kami di majlis pelancaran buku “The Great Reset – 100 Days of Triple Crisis.”

Di sini saya ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan saya Dato’ Ooi Kee Beng, Wan Hamidi Hamid, dan Frederik Paulus kerana sudi bersama berkongsi pendapat dalam panel ini, serta membantu menyunting tulisan yang terkandung dalam buku ini. Namun, seperti biasa, apa yang tertulis dalam halaman-halaman buku ini adalah tanggungjawab saya sendiri. 

Terima kasih juga kepada pasukan REFSA yang telah banyak membantu. Para penyunting yang terdiri daripada Ithrana Lawrence, Raja Ahmad Iskandar Fareez, pasukan REFSA Chung Hosanna, Tan E Hun, Ivy Kwek, dan lain-lain, sekali lagi saya ucapkan terima kasih. 

Bagi seluruh dunia dan Malaysia khususnya, pada saat ini kita bakal menghadapi dua kemungkinan. Sama ada kita akan mengalami satu zaman gelap yang akan menjerumuskan kita semua ke dalam bahaya, atau kita mendapat satu peluang untuk bermula semula.

Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua 75 tahun yang lalu, dunia ini telah ditadbir mengikut kerangka mutinasional, misalnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tidak kurang juga pengaruh Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia, khususnya ketika Perang Dingin yang lalu. 

Kini, kita tidak lagi pasti sama ada Amerika Syarikat akan terus komited untuk menjamin kerangka kerjasama dunia pelbagai hala. Malah, kegagalan Presiden Donald Trump dalam mengatasi krisis Covid dan krisis antarabangsa lain menimbulkan persoalan tentang kemampuan Amerika Syarikat untuk menjadi pemimpin dunia. 

Kita seolah-olah sedang meneroka wilayah baharu tanpa sebarang petunjuk. Implikasinya nanti akan berlipat ganda. 

Hubungan AS-China ketika ini semakin mencerminkan dinamik Perang Dingin terdahulu. Kini, kita khuatir seluruh dunia seolah-olah terjerumus ke kancah peperangan secara tidak sedar, khususnya di halaman rumah sendiri, di Laut Cina Selatan. 

Model ekonomi Malaysia sejak 1970an sangat bergantung kepada keupayaan untuk mengeksport barangan pengguna kepada Amerika Syarikat dan Eropah untuk mewujudkan peluang pekerjaan tempatan. Pada masa yang sama, Malaysia turut bergantung kepada hasil minyak dan gas untuk menjamin biaya kerajaan. 

Industrialisasi berasaskan eksport ini merupakan hasil penyumber luaran syarikat-syarikat AS ke Asia pada tahun 60’an. Penyumber luaran ini kini dipersoalkan di Amerika Syarikat sendiri dan dianggap sebagai faktor utama berlakunya ketidaksamarataan dan kehilangan pekerjaan bagi golongan kelas pertengahan. Malah, tanggapan inilah yang telah mendorong pengundi Amerika untuk memilih Trump pada tahun 2016. Pasca Covid-19, tekanan untuk memendekkan rantaian bekalan akan terus menjejaskan model ekonomi berasaskan eksport ini. 

Sebenarnya, model ini sudahpun lumpuh sejak Krisis Kewangan Global pada tahun 2008.

Krisis-krisis bertimbun ini telah banyak menghabiskan sumber hasil kelas pertengahan Amerika, seterusnya menjejaskan keupayaan penggunaan mereka secara mendadak. Dengan puluhan juta pekerja Amerika Syarikat terpaksa bergantung kepada bantuan penganggur, negara-negara yang mengeksport barangan ke Amerika Syarikat perlu bersedia untuk berdepan hari-hari yang sukar dalam masa terdekat. 

Pada masa yang sama, kebergantungan kewangan kerajaan kepada hasil minyak dan gas akan berakhir dalam masa terdekat, khasnya sekiranya kenderaan elektrik menjadi lebih lazim dalam kegunaan harian dan komersial. 

Hakikatnya, Malaysia sedang terjerat. Kita masih berharap bahawa pelaburan langsung luar negara (FDI) akan terus menjana kemakmuran tanpa penglibatan kerajaan. Akan tetapi, kerajaan perlu sedar bahawa model eksport yang bergantung kepada buruh murah tidak boleh membawa Malaysia maju ke hadapan lagi. Kadar gaji yang terlalu rendah ini bukan sahaja tidak cukup untuk menyara hidup rakyat malah menidakkan potensi mereka juga. Hal ini telah pun menjadi kebimbangan besar sejak sebelum Covid-19 lagi. 

Sebaliknya, kita memerlukan satu model baharu yang membayar gaji lebih tinggi kepada rakyat Malaysia, yang membolehkan Malaysia mendaki tangga teknologi, dan mewujudkan kapasiti untuk berubah ke fasa kemakmuran seterusnya, di mana kekayaan dikongsi oleh semua rakyat Malaysia, dan bukan sahaja terhad kepada golongan kecil. 

Daripada sudut politik, khususnya apabila saudara Lim Guan Eng menghadapi pertuduhan di mahkamah baru-baru ini, ramai yang merasakan bahawa hari-hari yang gelap bakal menjelma. 

Ada juga ura-ura bahawa Perikatan Nasional akan mengadakan pilihan raya umum, dan mereka menjangkakan bahawa orang Melayu hanya akan mengundi untuk kerajaan Melayu. Malah, mereka turut merasakan keadaan ini akan memberi majoriti dua pertiga untuk Perikatan Nasional. 

Dalam bahasa mudah, kalau saya percaya bahawa orang Cina hanya akan mengundi parti Cina sahaja, sudah tentu saya tidak menyertai DAP pada tahun 1999. Pada tahun itu, saudara Lim Kit Siang dan saudara Karpal Singh telah hilang kerusi mereka yang mempunyai bilangan pengundi Cina yang sangat tinggi. 

Ketika awal 2000’an, kami percaya bahawa pengundi Cina dan India akan akhirnya mengundi parti berbilang kaum, dan parti itu ialah DAP. Dengan wujudnya pakatan berbilang kaum ini pula, orang Melayu akan turut bersama. 

Kini, setelah 20 tahun kemudian, saya masih tidak percaya bahawa orang Melayu akan mengundi untuk kerajaan Melayu hanya kerana ia bersifat Melayu tanpa mempertimbangkan sama ada parti tersebut dipenuhi dengan penyangak atau tidak.

Sebaliknya, saya percaya bahawa rakan-rakan dan saudara-saudari saya menyertai politik kerana kami percaya dengan “Jalan Tengah Malaysia”. Kami percaya bahawa ada satu kumpulan pertengahan besar dalam kalangan pengundi Melayu dan kaum lain yang mahukan kerajaan yang bersih, jurang pendapatan yang lebih rapat, dan sebuah negara yang boleh dibanggakan oleh semua. 

Kami yakin bahawa kami boleh menzahirkan satu konsep sivik bangsa Malaysia ataupun sejenis nasionalisme yang boleh diakui dan disokong oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Rakyat Malaysia yang percaya dengan idea Malaysia sebagai sesuatu yang wajar diperjuangkan akan perlu bingkas bangun memimpin jalan ke hadapan, memulakan semula sebuah Malaysia yang lebih baik.

Ucapan ini disampaikan oleh Liew Chin Tong pada peluncuran buku beliau “The Great Reset – 100 Days of Malaysia’s Triple Crisis” pada 8 Ogos 2020.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi