

Dalam menghayati semangat Merdeka, kita harus melihat sejarah dan geografi supaya perbincangan mengenai negara lebih terbuka dan berpandangan jauh. Malah, sejarah mengajar kita tentang Kesultanan Melaka yang wujud sebagai sebuah kota metropolitan yang dihubungkan ke seluruh dunia melalui jalan maritim.
Dalam Bahasa Melayu apabila kita bercakap tentang negara, kita memanggilnya sebagai ‘tanah air’. Soal maritim tidak dipisahkan dalam gambaran ini. Tiada bahasa lain yang mampu menanggapi konsep ini bagi membawa erti negara.
Malaysia adalah sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan, yang mengikat Malaysia sehingga ke Eropah dan seluruh rantau Asia. Negara kita dikelilingi samudera, dan membawa kepentingan kepada dunia sebagai tempat laluan laut paling sibuk di Selamat Melaka serta lautan paling menjadi rebutan, Laut China Selatan.
Jika kita dapat melihat Malaysia dari sudut pandang tanah dan air, kita akan melihat Sabah dan Sarawak sebagai bahagian penting negara ini yang tidak dipisahkan lautan, bahkan disatukan sebagai satu entiti besar.
Rakyat negara ini perlu sentiasa diingatkan bahawa Malaysia bukan sahaja Semenanjung tetapi keseluruhan kawasan menganjur dari Selat Melaka hingga ke laut sulu. Lebih banyak air berbanding tanah sebenarnya.
Malaysia akan menjadi sebuah negara yang hebat sekiranya tanah, air dan rakyatnya dapat dipadu bersama, dan menyedari potensi untuk menyumbang dalam banyak segi bagi manfaat manusia sejagat.
Nasionalisme Sivik
Tetapi wacana politik kita seringkali tidak bercakap tentang konteks yang begitu hebat itu, bahkan lebih sering merujuk perbezaan antara kita dan melihatnya sebagai satu permasalahan dan bukan satu kelebihan.
Semua orang diberitahu mereka adalah Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan seterusnya; dan selalunya identiti tersebut digambarkan sebagai identiti utama yang wujud untuk saling bersaing dan berbalah.
Untuk bergerak maju dan mengubah trend ini, orang muda perlu membina sebuah nasionalisme sivik yang melihat Malaysia sebagai sebuah identiti yang perlu diperjuangkan. Dan bagi Malaysia, di saat wujudnya pertembungan kuasa besar antara Amerika Syarikat dan China, kita seharusnya bergerak bersama dengan satu iltizam dan cita-cita bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara serta rantau ini.
Perbezaan budaya dan keturunan tidak bermakna kita perlu saling bertembung dalam politik. Seorang Melayu tidak perlu mengundi seorang Melayu lain hanya kerana dia Melayu, tidak kira betapa kuat rasuah. Begitu juga halnya dengan warga Cina dan India serta komuniti-komuniti stereotaip yang wujud dalam akal fikiran kita semua. Kita sepatutnya mengundi memilih pemimpin yang mementingkan rakyat dan negara Malaysia.
Kita semua mahu melihat pemimpin yang dilantik itu bersih dan cekap, dan tidak mempunyai cita-cita lain selain membawa negara ke satu tingkat yang lebih tinggi, dan memberi kita rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
Merdeka daripada kemiskinan dan layanan antara dua darjat
Wabak Covid-19 telah menunjukkan betapa rentannya kita ini sebenarnya. Jika golongan paling rentan dalam masyarakat, seperti gelandangan, migran dan tahanan penjara dijangkiti, maka seluruh masyarakat berdepan risiko.
Semua orang perlu sedar bahawa hanya ada satu undang-undang dan ia terpakai kepada semua pihak. Tidak boleh ada layanan dua darjat.
Seperti Merdeka, Covid-19 juga mengajar erti kesamarataan. Rakyat biasa atau menteri, semuanya perlu dilayan adil dan saksama. Semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memastikan masyarakat tidak dijangkiti virus Covid-19 — atau virus rasuah.
Kemiskinan juga adalah masalah yang menjadi kebimbangan bersama. Ia merentasi kaum. Ada Melayu yang miskin, ada juga Melayu yang kaya. Begitu juga ada Cina dan India yang miskin dan ada juga yang kaya.
Yang miskin memerlukan pekerjaan dengan upah yang selayaknya. Dan seperti semua orang, mereka memerlukan khidmat penjagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan awam dan perumahan yang sebaiknya.
Seorang pemandu e-hailing; tidak kiralah apa keturunan dan budayanya, adalah seorang pemandu yang yang harus menghabiskan 16 jam di dalam keretanya untuk mendapat hasil pendapatan bagi memberi makan ahli keluarga. Tidak kira apa keturunan, ada antaranya yang terpaksa buat dua tiga kerja.
Masyarakat secara keseluruhannya perlu berempati dengan mereka yang tidak begitu bernasib baik, tidak kira apa pun sebabnya.
Merdeka, khususnya adalah soal kebebasan daripada layanan dua darjat dan belenggu kemiskinan. Keadilan harus menjadi tunjang utama apabila kita berbincang soal tadbir urus, dan rasa belas ihsan perlu menjadi nilai utama apabila kita meneliti tentang kehidupan dan kelangsungan hidup masyarakat.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan!
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!