Kenyataan berkenaan Jawapan Menteri Pertahanan mengenai Pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan


Semalam saya menerima jawapan bertulis daripada Menteri Pertahanan berkenaan soalan saya tentang kemajuan pelan pelaksanaan KPP. Sebagai Pembangkang berwibawa, kami sangat mengalu-alukan keputusan Kementerian Pertahanan untuk meneruskan agenda Kertas Putih Pertahanan demi kepentingan pertahanan negara. Khususnya, Kementerian tetap akan mengeluarkan tiga pelan pembaharuan, iaitu Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN), Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP), dan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) menjelang tahun 2021 hingga 2022.

Pelan-pelan tersebut sangat diperlukan kerana sebelum ini, lazimnya pelan pembangunan keupayaan telah diterajui secara bersilo mengikut setiap kehendak cabang perkhidmatan sendiri tanpa mengambil kira keperluan menyeluruh ataupun misi utama ATM. Selain itu, pelan-pelan tersebut tidak dibahaskan ataupun disemak oleh Parlimen, dan tidak disahkan oleh Jemaah Menteri.

Pada masa yang sama, kami turut berpendapat bahawa tidak wajar untuk kerajaan mengikuti rangka masa Rancangan Malaysia bertempoh setiap lima tahun untuk pelan pembangunan. Hakikatnya, aset pertahanan mempunyai kos kitaran hidup ataupun life cycle costs yang berlanjutan dari 10 hingga 20 tahun. Pemikiran jangka masa panjang diperlukan untuk memastikan ATM dapat melupuskan aset usang dan menerima aset baru dengan teratur.

Kami berharap Kementerian Pertahanan turut komited untuk menerajui pelan-pelan ini secara dwi-partisan. Motto Kementerian sendiri ialah “Pertahanan Negara Tanggungjawab Bersama,” dan sangatlah selari dengan sikap ini sekiranya Kementerian Pertahanan turut melibatkan ahli-ahli Pembangkang dalam usaha perangkaan pelan-pelan tersebut, seperti mana kerajaan Pakatan Harapan telah lakukan dahulu dengan Kertas Putih Pertahanan.

Pihak Pembangkang akan terus memberi pandangan dan kritikan yang membina kepada kerajaan agar pembangunan pertahanan negara dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya. Keselamatan dan pertahanan negara merupakan kepentingan bersama kita, biarpun ahli kerajaan mahupun ahli pembangkang.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi