Susur galur ‘gegaran’ pergolakan politik Malaysia

Bahagian 1: Gegaran Politik Malaysia

Tulisan asal disiarkan pada 28 September 2015

Apabila berlaku gempa bumi, banyak peralihan tektonik terjadi disusuli proses penyelarasan tetapi ia memerlukan masa sebelum menjadi stabil. Namun, dalam proses menuju kestabilan, lebih baik membuat jangkaan terhadap kemungkinan perubahan baru.

Dalam spektrum politik Malaysia, ia mengalami tiga gempa besar. Dan mendorong proses pergeseran dan penyusunan semula. Setiap kali berlaku gegaran, senarionya bukan mudah dijangka. Apabila landasannya berubah, ia memunculkan perubahan yang langsung tidak sama lagi.

Kali pertama berlaku ketika Pilihan Raya Umum pra-kemerdekaan Malaya pada Julai 1955 yang menyaksikan kejayaan Perikatan berasaskan formula Umno-MCA-MIC. Lawan Umno ketika itu ialah Datuk Onn Jaafar dari Parti Negara, PAS dan gerakan kiri, Parti Rakyat.

Apabila pemimpin Melayu kiri, Dr Burhanuddin al-Helmy mengambil alih tampuk teraju PAS pada 1956, wujud kerjasama antara aktivis anti-kolonial, gerakan Islam, Melayu Kiri dan politik kedaerahan/kenegerian terutama Kelantan. Dalam politik Cina pula, Parti Buruh menjadi ancaman terbesar kepada MCA.

Senario itu berlangsung sehingga Pilihan Raya Umum 1964. Namun, selepas itu tiga gegaran politik berlaku.

Pada pilihan raya itu, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Lee Kuan Yew bertanding beberapa kerusi di Semenanjung Malaysia tetapi gagal melawan kerjasama parti politik sedia ada, hanya menang satu kerusi melalui Devan Nair.

Pilihan Raya 1969

Parti Buruh memboikot pilihan raya pada 10 Mei 1969. Dua parti tertubuh bagi mengisi vakum politik ketika itu, iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Gerakan – kemudian menawan dan menubuh kerajaan di Pulau Pinang.

Tiga hari kemudian, Tragedi 13 Mei berlaku – ia menjadi gempa politik di tanah air. Penyusunan semula spektrum politik pada pilihan raya 1974 dapat diringkaskan melalui dua fakta berikut:

Pertama, terkuburnya parti berhaluan kiri yang popular sekitar tahun 60-an disebabkan:

a) Perpecahan blok sosialis apabila Parti Rakyat dan Parti Buruh tidak bersefahaman dalam dasar bahasa.

b) Tindak balas kerajaan kepada isu antarabangsa iaitu Perang Dingin dan Perang Vietnam dengan bertindak zalim terhadap parti berhaluan kiri. Hampir semua pemimpin utama Parti Buruh ditahan ISA. Ia menyebabkan gerakan kiri lumpuh sama sekali, tidak lagi bertanding peringkat Parlimen.

c) Penahanan Dr Burhanuddin mengikut ISA mengakibatkan kesihatannya merosot teruk yang membawa kepada kematiannya pada 1969 selepas beliau dibebas. Pada masa itu, pemimpin de facto PAS pada 1965 ialah Menteri Besar Kelantan, Mohd Asri Muda yang dilihat menjuarai politik kenegerian Kelantan. Ia menjadi titik mula kerenggangan PAS dari politik sayap kiri dan anti-kolonial.

Kedua, dominasi Umno sebagai model politik berasaskan kaum. Selepas Tragedi 13 Mei, Majlis Gerakan Negara yang dipengerusikan Tun Abdul Razak ditubuh pada 16 Mei. Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mulai hilang cengkaman kuasa dan terpaksa berundur pada September 1970.

Akibatnya, demokrasi berparlimen digantung antara 13 Mei dan hanya diadakan semula pada Februari 1971.

Tun Abdul Razak kemudian memperkenal Dasar Ekonomi Baru, yang berasaskan idea gerakan kiri iaitu pengagihan saksama tetapi mempraktikkannya mengikut kaum. Razak juga merekrut PAS atas nama Penyatuan Melayu.

Beliau juga mengubah spektrum politik dengan menukar perkongsian kuasa Umno-MCA-MIC kepada model dominasi Umno. Ini menjadikan peranan parti komponen Barisan Nasional (BN) menjadi mengecil, termasuk PAS, Gerakan, PAP dan lain-lain.

Konflik dalaman PAS 1982

Penggabungan PAS dengan kerajaan melalui Perikatan pada 1973, mengakibatkan tiada lagi parti pembangkang Melayu yang kuat. Akibat amalan politik perkauman menjadi-jadi, Parti Rakyat makin tersisih.

Walaupun begitu, sentimen anti-Umno dalam kalangan pembangkang Melayu masih menebal terutama ketika krisis ekonomi 1973-1974 berikutan krisis minyak.

Apatah lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai watak penting dalam gerakan kemasyarakatan Melayu melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

PAS kemudian ditendang dari BN pada November 1977, sekaligus membawa kerugian besar kepada parti itu dalam pilihan raya tahun berikutanya, kalah hampir semua kerusi dan kehilangan Kerajaan Kelantan.

Sejak pilihan raya itu hingga 1982, PAS juga mengalami pergolakan dalaman tetapi masih mampu menarik sebilangan pemimpin muda dari ABIM termasuk Fadzil Noor yang kemudian menjadi Presiden dan Abdul Hadi Awang.

Kejutan berlaku pada pilihan raya April 1982 apabila Anwar menyertai Umno sekalipun beliau disebut-sebut bakal masuk PAS, malah Asri pernah sekurang-kurangnya dua kali mempelawa tokoh Islam itu untuk dijadikan Presiden PAS.

Kesannya, PAS terus menanggung kekalahan pada pilihan raya dan hanya mampu mengekal lima kerus Parlimen.

Bagi menampung kenaikan mendadak Anwar dalam Umno dan penyerapan politik Islam dalam parti itu, PAS mula berubah dengan sendiri. Pada Muktamar PAS 1982, kelompok Kaum Muda PAS menggulingkan Asri.

Maka, bermulalah era PAS dan Umno berlumba-lumba menjuarai isu Melayu untuk memenangi isu berkaitan Islam.

Kebangkitan gerakan Islam domestik itu berkait rapat dengan pengaruh Revolusi Iran pada 1979 hingga menyaksikan pertempuran sengit antara Umno-Anwar dan PAS-Kaum Muda terutama Hadi.

Pemecatan Anwar 1998

Antara 1982 hingga 1998 juga menyaksikan Umno berpecah kepada Pasukan A dan Pasukan B selepas perseteruan antara Umno (baru) pimpinan Dr Mahathir dan Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.

Namun, selepas kekalahan teruk pada pilihan raya 1995, Semangat 46 kembali kepada Umno pada tahun berikutnya.

Pada pilihan raya 1990, PAS dengan dibantu Semangat 46 menawan Kelantan sekaligus meletakkan asas kepada pimpinan utama PAS untuk memujuk pengundi Melayu moderate berikutan ramai aktivis muda menyertai PAS.

Kemunculan Semangat 46 pula dapat menyatukan dua kem itu dan bekerja bersama-sama sekaligus membuka jalan kepada kemungkinan gabungan pembangkang.

Bagaimanapun, saya tidak menganggap Semangat 46 sebagai suatu gempa politik kerana ia tidak memberi impak berpanjangan terhadap iklim politik Malaysia.

Ia disusuli pemecatan Anwar pada 2 September 1998 dan penahanan beliau ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 20 September. Insiden itu menjadi pemangkin kepada dua sejarah perubahan spektrum politik tanah air.

Pertama, ia membentuk Parti Keadilan Nasional yang kemudian ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas pemecatannya, Anwar menolak pelawaan menyertai PAS atau Parti Rakyat sebaliknya menubuhkan PKR. Ini menjadikan bilangan parti pembangkang ialah empat berbanding trio sebelumnya, DAP, PAS dan Parti Rakyat.

Kemudian, Barisan Alternatif dibentuk pada 24 Oktober 1999 dan bertanding pada pilihan raya 1999.

Kedua, kemunculan kelompok progresif dalam PAS. Sebelum 1998, ahli PAS kebanyakannya dari empat negeri di Pantai Timur, kebanyakannya berlatar belakang pertanian, peladangan, pemilik kecil dan pekerja kelas.

Tetapi selepas insiden Anwar, masyarakat Melayu dari semua negeri di Semenanjung Malaysia beramai-ramai menyertai PAS termasuk golongan profesional. Dalam setahun pemecatan Anwar, keahlian PAS melonjak dari 450,000 to 800,000.

Mungkin ada mempertikai bahawa perpecahan PAS akibat masalah dalaman parti kerana gagal menangani Kelas 1998 dan Kelas 1982. Hasilnya ia berpecah kepada PAS dan membawa kepada penubuhan Parti Amanah Negara.

Insiden Anwar mengubah suasana politik Melayu.

Sejak itu, PKR dan kelompok progresif dalam PAS berjuang melawan rasuah, nepotisme dan amalan tidak demokratik yang menjadi amalan Umno. Orientasi politik itu berlawanan dengan kelompok konservatif dalam PAS dan Umno.

Dalam menjejak susur galur spektrum politik Malaysia, isu dominan ialah terkuburnya perjuangan gerakan kiri dan anti-konolial pada 1969, kemudian era politik berasaskan kaum, diikuti perjuangan politik Islam dan akhirnya perjuangan gerakan Reformasi.

Bahagian 2: Menelusuri evolusi politik Islam di Malaysia

Tulisan asal disiarkan pada 1 Oktober 2015

Perkembangan politik Islam di Malaysia juga telah menyebabkan gempa politik yang menggubah lanskap politik negara. Evolusi Islam politikal di Malaysia terbahagi kepada tiga peringkat: Kebangkitan Islam yang menggerakkan perubahan dalam UMNO dan PAS pada 1982, kemunculan kelompok progresif PAS pada 1998 dan ‘pasca-Islamisme’ pada 2015.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu membuat perbandingan trend antarabangsa dalam perdebatan Islam politikal dan politik Islam di Malaysia kerana dalam banyak segi, politik adalah hal dalaman negara.

Bagaimanapun, trend dan label antarabangsa wajar dijadikan sumber maklumat dalam pemerhatian terhadap perubahan domestik.

Sudah tentu ia cuma pandangan peribadi saya. Dalam setiap peringkat pembangunan Islam Politikal, akan ada tindak balas dan suara-suara penentangan. Jalan ke arah evolusi pemikiran bukanlah jalan yang lurus tapi penuh liku.

Di barisan depan antarabangsa, wadah utama perjuangan politik dalam masyarakat Muslim dari awal abad ke-20 hingga ke sekitar 1960-an ialah sentimen anti-kolonialisme dan anti-Barat. Medan politik mereka ketika itu banyak berkisar mengenai isu itu.

Di banyak negara, gerakan Islamis pada tempoh itu sering bergabung dengan gerakan anti-kolonialis dan gerakan kiri. Hanya sedikit sahaja organisasi yang benar-benar menjadikan Islam sebagai dasar tindakan politikal mereka, dan biasanya mereka organisasi yang kurang kuat.

Di Malaysia, parti politik Islam yang pertama, Hizbul Muslimin ditubuh pada 1948 dan kemudian diharamkan oleh kerajaan kolonial pada tahun sama. Ia adalah akar kepada penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya/Parti Nasionalis Melayu (PKMM/MNP).

PAS pula ditubuh oleh bekas agamawan UMNO pada November 1951 di Butterworth. Dua daripada mereka adalah ayah dan datuk kepada bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam kompas politik, Hizbul Muslimin dilihat sebagai gerakan kanan manakala PAS pula gerakan kiri. Pada 1954, setelah UMNO menghalang ahli-ahlinya memegang dua keahlian parti, mendorong majoriti agamawan UMNO yang menyertai PAS memilih kekal dalam UMNO.

Pada 1956, bekas Presiden PKMM/MNP, Dr Burhanuddin al-Helmy dipilih menjadi Presiden PAS.

Pada Pilihan Raya Umum 1959, PAS menang di Kelantan dan Terengganu. Ketika itu, boleh dikatakan tidak ada parti politik yang memerintah menggunakan panji Islam di mana-mana negara kecuali di Pakistan dan Indonesia.

Dalam kalangan PAS, ramai yang melihatnya seperti Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi yang kerap kali menghadapi hukuman kerajaan dalam tempoh 60 tahun kebelakangan ini.

Salah seorang pemimpin besar Ikhwan, Sayyid Qutb, didakwa menjadi dalang pembunuhan Gamal Abdel Nasser dan dijatuhi hukum gantung sampai mati.

Walaupun PAS banyak dipengaruhi kepimpinan Ikhwan dalam urusan hal-ehwalnya, Ikhwan adalah contoh yang salah kerana, sebagai sebuah gerakan tertindas, matlamatnya cuma untuk terus wujud. Sedangkan, matlamat PAS untuk menang pilihan raya.

Kebangkitan Islam

Berslogan “Islam adalah penyelesaian”, kebangkitan gerakan Islamik hadir sebagai gelombang politik global pada 1970-an. Revolusi Iran 1979 mempengaruhi orang Islam di seluruh dunia untuk menggunakan cara radikal untuk mencapai kemenangan.

Politik Islam di Malaysia bukannya tumbuh tak berakar; ia tak boleh lari dari pengaruh pergerakan antarabangsa. Kebangkitan Islam di Malaysia datang dalam bentuk sebuah gerakan anti-establishment yang timbul pada sekitar 1970-an (dengan peranan besar ABIM yang diterajui oleh Anwar).

Sekitar tahun 1980-an kemudiannya menyusul dengan PAS dan UMNO saling bersaing untuk menjuarai seputar isu Islam.

Walaupun ada segelintir rakyat menerima latihan akademik Islam sebelum 1980-an lagi, ABIM yang digerakkan Anwar dilihat sebagai pendukung kepimpinan era itu.

ABIM muncul setelah Tragedi 13 Mei, di mana PAS dan UMNO bekerjasama secara rasmi pada 1973 dan PAS kemudian bersatu dengan Barisan Nasional (BN) pada 1974. Penyatuan itu memberikan ruang untuk ABIM muncul sebagai sebuah kepimpinan gerakan anti-establishment dasar-Islam.

Ketika pilihan raya 1978, Anwar berkempen untuk PAS tapi kemudian menyertai UMNO seminggu sebelum piliharan raya 1982. Dalam Muktamar PAS pada Oktober tahun sama, berlaku perubahan dalaman PAS yang menyaksikan penyingkiran presidennya, Asri Muda.

Selepas menyertai UMNO, Anwar lantang menyuarakan isu ‘penjenamaan Islam’ seperti universiti Islam, sistem kewangan Islam, sistem perbankan Islam dan lain-lain. Anwar menggunakan strategi:

(a) mempromosi label Islam dengan rangka kerja sistem kapitalis;

(b) mewujudkan jenama Islam melalui rangka kerja BN yang berbilang kaum.

Di pihak yang lagi satu pula, Naib Presiden PAS yang baru dilantik, Hadi Awang membawa Islam yang lebih ‘tulen’ dan ‘suci’ sebagai tindak balas kepada gagasan Anwar.

Amanat Hadi – yang pertama kali disampaikan pada 1981 – secara kontroversi menggelar pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya sebagai orang Islam yang tidak jujur dalam perjuangan Islam, dan termasuk dalam golongan kafir.

Ucapan Hadi mendorong rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat terutama di negeri kelahirannya, Terengganu. Ramai ahli PAS memutuskan hubungan dengan teman-teman daripada UMNO sehinggakan di majlis kahwin atau kenduri arwah (ibadah solat terpaksa dibuat dua kali – satu diimam orang PAS dan satu oleh orang UMNO).

Krisis paling teruk berlaku antara PAS dan pihak yang dipimpin UMNO ialah Peristiwa Memali pada 1985 yang menyaksikan polis mengepung sebuah kumpulan agama kecil di

Kedah dan membawa kepada kematian ahli-ahli PAS.

Pada pilihan raya 1986, PAS bertanding 90 daripada 154 kerusi parlimen dengan anggapan betapa sentimen ikatan Islamik yang kuat akan membantu mereka untuk menang.

Sebaliknya, PAS hanya mampu menang satu kerusi saja dan pengaruh kelompok konservatif semakin berkurangan dalam parti sedangkan kelompok moderat kian dominan.

Berikutan kekalahan itu, kelompok moderat mula menguasai PAS melalui kepimpinan presiden baru, Fadzil Noor yang dilantik pada 1989. Setelah perpecahan UMNO pada 1987, PAS kemudian bekerjasama dengan Semangat 46 dan memenangi semula Kelantan pada 1990.

Kelompok Progresif

Kebangkitan Islam global yang diilhamkan oleh Revolusi Iran tidak bertahan lama. Sehingga 1990-an, gerakan Islamik di banyak negara menemui kegagalan dalam eksperimen demokrasi (Algeria, Tunisia). Tempoh itu merupakan tempoh sukar tapi dalam tempoh tersebut jugalah Islam politikal mengalami percambahan beragam.

Selepas kejatuhan Soviet Union dan blok Komunis Eropah Timur pada 1989, pakar teori Barat (khususnya saintis politikal Amerika seperti Samuel P. Huntington) tercari-cari ideologi politikal untuk dijadikan ‘musuh’ baru.

Tesis beliau, “The Clash of Civilisations” menjadi kanun aliran pemikiran dengan meletakkan Islam sebagai musuh politikal baru.

Serangan Al-Qaeda (Osama bin Laden) terhadap World Trade Center pada 2001 merupakan produk daripada radikalisasi Islam yang dikepung. Trend yang berlawanan merupakan kecenderungan parti Islamik – seperti di Indonesia dan Turki yang berkuasa – untuk bergerak ke tengah bagi meraih undi kelompok moderat.

Banyak usaha dilakukan dengan serius untuk menunjukkan dan membuktikan Islam bersesuaian dengan demokrasi.

Tempoh radikal dalam Islam politikal di Malaysia tamat setelah 1980-an dan kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 menarik beberapa golongan hebat menyertai PAS yang kemudian membawa parti itu ke jalan tengah.

Walaupun begitu, kejayaan PAS pada 1990 itu juga secara tidak langsung menyumbang kepada prestasi buruk mereka pada 1995.

Kes Anwar pada 1998 membolehkan PAS meraih lebih banyak sokongan masyarakat, ahli dan pemimpin. Ramai teknokrat bukan agamawan dan golongan profesional menyertai PAS semasa Reformasi, malah ada menjadi pekerja dan pemimpin politikal sepenuh masa.

Setelah pemergian Fadzil Noor pada 2002, presiden baru PAS, Hadi Awang mengabai kempen Islamik demokratik dan menghidupkan semula idealogi radikalisme berdasarkan Dokumen Negara Islam yang diusul oleh Haron Din pada November 2003. Tindakan itu menyebabkan PAS mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya 2004.

Berikutan itu – untuk membaiki imej PAS, Hadi membenarkan kelompok progresif dalam parti mempromosi agenda politik mereka. Kerjasama politik dengan PKR dan DAP kemudian membolehkan PAS meraih undi terbesar dalam sejarah parti pada pilihan raya 2008.

Pasca-Islamis

Gerakan politik Islam global masuk ke era introspeksi apabila dikejutkan oleh Kebangkitan Arab pada 2011. Parti dan gerakan politikal Islamik tidak menjangka kejutan itu dan memberi respon yang agak tidak selesa.

Dalam proses pendemokrasian pasca-Kebangkitan Arab, parti politikal Islamik menjadi kuasa masyarakat yang paling tersusun selain tentera – itu membolehkan mereka menang besar dalam pilihan raya di Mesir dan Tunisia.

Bagaimanapun, pemerintahan Presiden Morsi tumbang dalam masa setahun saja. Ini kerana kurangnya pemimpin yang mampu menghadapi peralihan daripada sistem autoritarian. Penindasan berdekad-dekad banyak melenyapkan kepimpinan mereka dari latar belakang teknokrat.

Setelah diberi peluang untuk memerintah, mereka tidak berdaya menentang tindakan balas daripada Daulah Terpendam (Deep State) dan gagal menyelesaikan masalah ekonomi Mesir.

Ennahda, parti politikal Islamik Tunisia, mungkin parti yang paling bersedia dari segi semangat demokrasi kerana sanggup menyerahkan kuasa dan membenarkan kerajaan teknokratik untuk memerintah.

Erdogan yang menerajui tampuk pemerintahan Turki pada 2003 adalah simbol asal pendemokrasian Islam, tetapi setelah berkuasa sekian lama, beliau mula menunjukkan sisi-sisi kediktatoran.

Cabaran yang dihadapi oleh Islam politikal adalah ketidakjelasan slogan ‘Islam adalah penyelesaian’ dalam menguruskan masalah ekonomi, pengurusan dan pentadbiran. Adakah Islam sebiji ‘pil ajaib’ untuk segala masalah?

Atau, adakah sudah tiba masanya untuk prinsip Islam yang lebih luas – Maqasyid Syariah, diangkat untuk menggantikan label Islamik yang superfisial?

Perpecahan dramatik dalam PAS pada 2015 adalah produk akibat pertembungan antara kelompok kebangkitan Islamik 1982 dan kelompok progresif/moderat. Malah, muncul satu lagi peringkat dalam konflik ini: Bagaimana caranya untuk mempromosi Islam dalam senario pasca-Islamisme.

Ambil hudud sebagai contoh. Dalam dialog dengan pelajar jurusan pengajian Islamik, saya seringkali ditanyakan pendapat mengenai hudud.

Jawapan saya: Mekanisme dalam mengukuh kewangan Islamik adalah satu ‘produk’ penting dalam perjuangan Islam UMNO pada 1982. Semasa tempoh kebangkitan Islamik pada 1980-an, hanya sedikit kajian yang dibuat berkenaan Islam dan tidak ramai rakyat Malaysia yang mengkaji Islam secara serius. Masyarakat berpuas hati dengan apa saja ‘produk’ dengan ‘jenama Islamik’. Tanda aras amat rendah.

Pada 2015, sekurang-kurangnya ada puluhan ribu – jika bukan ratusan ribu – rakyat Malaysia yang mengkaji Islam secara serius. Sebagai sebuah masyarakat, kita memiliki pemahaman lebih baik berbanding pada 1982.

Kewangan Islam dan bon Islam, sukuk adalah instrumen kewangan dengan nilai baik yang dipakej sebagai ‘Islamik’. Jika kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk mengusul sukuk untuk membayar hutang 1MDB, adakah ia halal ataupun haram? Biasanya, lebih separuh khalayak Muslim akan berkata ia haram.

Begitu juga perbincangan tentang hudud. Pada 1980-an, tidak ramai yang menyentuh secara terperinci kandungan undang-undangnya, dan tiada ruang untuk berdebat. Pada 2015, dengan ramainya rakyat yang mengkaji Islam bertahun-tahun, lebih ramai sedar jika tidak melaksanakan ijtihad, berkemungkinan besar kita menjatuhi hukuman potong tangan ke atas seseorang yang mencuri RM42 manakala pesalah yang mencuri RM42 bilion pula terlepas bebas. Kemungkinan seperti itu tidak menepati konsep keadilan Islam yang luas.

Kelompok progresif cuba menghadapi masyarakat pluralistik berdasarkan rangka kerja kebangkitan Islamik. Cabaran pada 1980-an ialah untuk mempromosi cara pemikiran melalui label Islamik kepada masyarakat yang ketika itu kurang ‘Islamisasi’-nya. Malah, gaya hidup Islam (tudung dsb), politik Islam, ekonomi (kewangan Islam) dan undang-undang (hudud) adalah hal-hal baru ketika itu.

Kelompok 1998 cuba memecahkan acuan yang dibentuk Kelompok 1982. Cabaran pada 2015 ialah bagaimana untuk bergerak ke depan dalam masyarakat yang sudah menerima lebih daripada label ‘Islamisasi’ yang superfisial dan mendepani isu penting.

Selepas perpecahan pada 2015, PAS yang diteraju Hadi hanya tinggal pemikiran daripada kebangkitan Islam 1982. Parti Amanah Negara (Amanah) bukan hanya harus memenuhi mandat kelompok progresif, malah mesti membawa pemikiran pasca-Islamis yang komprensif berkaitan Maqasyid Syariah bagi meraih sokongan lebih ramai rakyat yang mahukan sebuah masyarakat yang adil.

Betapa evolusi pemikiran dalam Islam politikal memainkan peranan besar dalam membentuk spektrum baru politik Malaysia.

Bahagian 3: Detik-detik akhir, gempa politik dan formula iPhone

Tulisan asal disiarkan pada 23 Oktober 2015

Meskipun kedengaran klise, zaman sekarang merupakan zaman yang terbaik dan terburuk sekaligus. Dan, pada zaman yang mengelirukan, kejelasan adalah amat terbatas.

Ada tiga perkara yang mungkin dapat membantu memahami keadaan semasa politik Malaysia: bahawa ‘kiraan terakhir’ akan segera berlaku; berlakunya gempa bumi politik, geseran plat tektonik dan penyelarasan semula kuasa politik di Malaysia; juga pengundi sedang menantikan suatu transformasi – lebih kurang seperti iPhone sewaktu ia pertama kali dicipta.

Detik terakhir

Sidang media bekas seteru, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah memeranjatkan sesetengah kita. Ramai kagum dengan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kejatuhan ringgit. Kerana lazimnya, kenyataan Majlis Raja-raja hanya menyentuh isu Islam dan perpaduan nasional.

Sebenarnya, sejak krisis kewangan Asian pada 1997 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Malaysia menjadi sebuah negara yang ternanti-nanti akan perubahan. Tetapi perubahan yang berlaku tidak seberapa, itupun jika ada. Dan kini kita di ambang krisis baru – ‘ribut badai’ yang melanda negara dari pelbagai aspek – politik, ekonomi, keuangan, hubungan etnik dan lain-lain.

Dari aspek kerajaan, jika Datuk Seri Najib Razak terus memimpin Umno hingga pilihan raya akan datang, Umno bukan sahaja akan kalah tetapi berkemungkinan pemimpin Umno melompat dari ‘kapal karam’ untuk bertanding melawan Umno.

Bagi penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN), mereka pasti hendak tahu: Jika Umno berjaya menggantikan Najib, adakah proses penyingkiran itu berjalan lancar ataupun sebaliknya? Jika Najib disingkir, adakah Umno akan terus bersatu? Dan tanpa Najib, bolehkah Umno menang dengan pemimpin yang baru?

Bagi kita, soalan utama yang ingin ditanyakan ialah: Adakah semua masalah Umno berpunca daripada Najib atau adakah ia sebenarnya masalah sistemik? Bolehkah masalah sistem diselesaikan hanya dengan melantik pemimpin baru?

Ada mungkin mengatakan Umno boleh memeranjatkan semua dengan transformasi mengejut dan menyeluruh. Tetapi, sekali lagi, itu hanya cubaan untuk bersangka baik. Pada sesi Parliamen yang berlangsung hangat, kita lebih berasa detik-detik terakhir akan segera berlaku.

Gempa politik

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada kerajaan pada 28 Julai adalah gegaran ‘gempa bumi’ besar yang tidak pernah berlaku sejak September 1998. Ahli Umno masih terperanjat, namun tidak mampu bersuara secara terbuka – sekurang-kurangnya buat masa ini.

Golongan moderat dan progresif dalam PAS tidak bersatu. Mereka tewas dalam pemilihan PAS pada 6 Jun lalu. Tiga bulan kemudian, mereka membentuk Parti Amanah Negara (Amanah).

Selagi PAS dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu tidak akan memenangi undi Melayu kelas pertengahan, apatah lagi pengundi bukan Melayu. PAS sedang mengucapkan selamat tinggal kepada undi dari pantai Barat Semenanjung.

Tanpa golongan progresif, PAS juga tidak akan mampu menjadi tarikan di luar Kelantan dan Terengganu serta sebahagian kawasan di Kedah. Ada pemerhati berpendapat, PAS terancam kerana bakal kehilangan Kelantan akibat isu berbangkit dari pentadbiran yang lemah sejak bertahun-tahun lalu.

Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan perpecahan kedua dalam PAS atau Hadi digantikan Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat memainkan peranan seperti pendahulunya, Mohamad Sabu (kini Presiden Amanah) bagi menonjolkan imej anti-Umno.

Melalui pimpinan Hadi beberapa tahun kebelakangan ini, garis antara PAS dan Umno semakin kabur. Ini satu ironi. Menurut pemimpin dan ahli Umno, Hadilah yang melabel Umno sebagai ‘parti kafir’ sekitar 1980-an, juga mengistihar PAS sebagai pejuang anti-assabiyah (perkauman), merujuk kepada jenama Melayu nasionalis yang dibawa Umno. Tindakan Hadi merangkul Perkasa, kumpulan pejuang supremasi Melayu memeranjatkan sesetengah pemimpin dan ahli akar-umbi. Mereka tahu ia mungkin menyebabkan bencana pilihan raya kerana Perkasa terang-terangan bersifat assabiyah.

Dari aspek Najib, pada saat semua perkara sedang menongkah arus pentadbirannya – atau kelemahan pentadbiran – sang ‘pelakon’ moderat kini ditopang oleh Datuk Jamal Yunos dari kumpulan Baju Merah, ulama Muslim konservatif termasuk beberapa mufti, juga Hadi serta Datuk Haron Din untuk sokongan ideologi mereka. Golongan itu tidak menyembunyikan kebencian mereka terhadap semangat kesederhanaan dan kemajuan.

Seperti yang disebutkan tadi, gempa bumi besar biasanya disusuli gempa bumi kecil, peralihan tektonik dan penyelarasan semula. Ia juga akan meninggalkan kelompongan besar.

Kelompongan besar

Umno yang dipimpin Najib dan PAS pimpinan Hadi melihat perkara dari kaca mata etno-sentrik. Pandangan itu tidak mewakili banyak suara orang Melayu, apatah lagi masyarakat Malaysia, amnya.

Mengikut kajian Merdeka Center, hanya 23 peratus orang Melayu menyokong BERSIH manakala 24 peratus menyokong perhimpunan ‘Baju Merah’.

Jika ia merupakan dua ‘kutub’ pendapat yang berlawanan, jelaslah sekumpulan besar yang berada di tengah-tengah kemelut tidak ada pilihan jelas – merekalah golongan ‘garis tengah’ yang mampu mempengaruhi keputusan mana-mana pilihan raya.

Malaysia versi ‘rasis’ yang dipromosi Najib dan Hadi adalah resipi bagi bencana pilihan raya. Mana-mana gabungan harus tahu mereka memerlukan sokongan semua kaum di Semenanjung dan memenangi undi dari Sabah dan Sarawak.

Perjuangan demi Malaysia semakin terbentuk antara golongan konservatif dan progresif, antara mereka yang mendesak dominasi Melayu-Islam tanpa ‘kompas moral’ dan mereka yang mengimpi Malaysia yang lebih baik untuk semua, ditadbir melalui prinsip keadilan sejagat selaras ‘Maqasid Syariah’.

Nyata, ada kelompongan besar dan tiada sesiapa mampu mengisi kekosongan itu.

Formula iPhone

Ia merupakan suatu revolusi sewaktu Steve Jobs pertama kali menciptakan iPhone pada 2007. iPhone menggabungkan fungsi iPod (muzik), internet dan telefon – tiga fungsi yang sebelumnya terasing – ke satu produk yang menetapkan norma baru untuk diikuti pencipta lain. iPhone adalah jawapan kepada keinginan pengguna yang sebelum itu tidak terpenuhi.

Dalam senario pasca gempa bumi dengan kelompongan kepimpinan besar yang perlu diisi, berbaloi bagi kita sebagai sebuah negara untuk berfikir tentang keperluan bagi membawa perubahan pada pilihan raya akan datang.

Kita maklum betapa agenda Malaysia konservatif adalah supremasi Melayu.

Bagaimana seharusnya reaksi dari masyarakat progresif di Malaysia? Masyarakat progresif memerlukan set gagasan yang jelas dan mampu menciptakan ‘iPhone’ dalam konteks politik Malaysia – sesuatu yang baru dan mampu memikat hati serta minda terutama pengundi Melayu di kerusi yang dimenangi (atau kalah) dengan majoriti tipis.

Kegagalan pembangkang menembusi kubu Umno di kawasan pedalaman telah banyak dibahas. Kubu seperti Rompin atau Pengerang memang direka khas untuk Umno. Sukar memasuki kawasan pedalaman, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Untuk menenang pilihan raya bukanlah dengan memfokus kerusi itu. Sebaliknya, daripada 73 kerusi Umno di Semenanjung, sekurang-kurangnya 35 kerusi dimenangi dengan perbezaan undi tipis (marginal). Masyarakat Malaysia yang progresif harus memasang matlamat untuk memenangi 40 kerusi Umno di Semenanjung. Jika itu dapat dicapai, semua yang lain akan ikut serta.

Langkah progresif

Langkah masa depan adalah untuk mewujudkan wawasan yang mampu menginspirasi seluruh rakyat Malaysia dengan tumpuan khusus ke arah membawa kemapanan ekonomi dan kesejahteraan kepada golongan Melayu berpendapatan sederhana rendah di kawasan separa-bandar.

Setiap mereka ada satu undi, dan ramai yang mempunyai telefon pintar, Facebook dan saluran komunikasi yang tidak dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.

Masa depan masyarakat progresif terletak pada kemampuannya untuk menzahirkan kehendak dan aspirasi rakyat Malaysia, serta kerisauan mereka tentang kerja, gaji, kesihatan, pengangkutan, keselamatan, pendidikan dan lain-lain.

Kita memerlukan visi ekonomi yang mampu mencipta kitaran gaji, kemahiran dan produktivi lebih tinggi supaya akan ada titik pertemuan antara kepentingan kaum bukan Melayu yang mendominasi sektor industri kecil sederhana dan pekerja Melayu di kawasan separa-urban, dan bukannya pertentangan.

Apabila rakyat Malaysia mendapati bahawa kesejahteraan ekonomi mereka lebih terjamin atau akan lebih terjamin menerusi kerajaan yang baru, perubahan tidak akan ditakuti dan sebaliknya akan didamba dengan sepenuh hati.

Sejujurnya, Umno-BN boleh melakukan perubahan jika mereka mahu. Tetapi kita tahu ramai pemimpin mereka sudah tidak berpijak di bumi nyata.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi