1990: Pilihan raya yang mengubah Malaysia

Pilihan Raya Umum ke-8 (PRU8) telah berlangsung pada 21 Oktober 1990, genap 30 tahun lalu. PRU itu telah mengubah landskap politik negara. 

Saya mula membaca surat khabar dan berminat dengan politik ketika berusia sembilan tahun pada tahun 1986. Seperti orang lain, saya masih ingat kecelaruan politik, perpecahan kaum dan krisis ekonomi pada tahun 1980-an.

Saya merupakan pelajar kesusasteraan Cina dan sejarah dua dekad yang lalu. Salah sebuah buku yang gemar saya baca ialah “1587, a Year of No Significance” tulisan Ray Huang. Beliau memilih salah satu tahun dalam Dinasti Ming untuk menanggapi keadaan dan menjelaskan benih punca segala-gala yang bakal berlaku pada masa akan datang.

Sekali imbas, keputusan PRU 1990 bukanlah sesuatu yang menggegarkan, jika dibandingkan dengan PRU 2008 dan 2018, tetapi tindak balas ke atas keputusan pilihan raya tersebut oleh pemimpin utama, khususnya Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad, telah mengubah sejarah secara signifikan. 

Wawasan 2020 dan idea Bangsa Malaysia berkait rapat dengan pilihan raya umum 1990. 

Mahathir menjadi Perdana Menteri 

Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri (PM) pada 16 Julai 1981 dengan keadaan rakyat berharap melihat sebuah permulaan zaman baharu yang menenggelamkan kisah-kisah silam. Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri pertama bukan berkelulusan undang-undang dan datang daripada keluarga biasa. 

Jika dibandingkan, Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman adalah anak Sultan Kedah, penggantinya pula Tun Razak Hussein datang daripada keluarga bangsawan Pahang, dan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn ialah anak dan cucu kepada mantan-mantan Menteri Besar Johor. 

Mahathir tidak pernah mempunyai tapak yang kuat dalam UMNO. Pada tahun 1969, beliau telah dipecat oleh Tunku tetapi telah dibawa semula oleh Razak ke dalam parti dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada tahun 1974. 

Setahun selepas itu, dalam sebuah pemilihan parti yang sangat penting buat UMNO pada tahun 1975, beliau mendapat tempat ketiga selepas Tun Ghafar Baba dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pertandingan Naib Presiden. Apabila Razak meninggal dunia di London pada bulan Januari 1976, Hussein yang telah menggantikannya membuat keputusan mengejut dengan melantik Mahathir – calon “ luar” – sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).  

Apabila Mahathir menjadi PM, beliau tidak melantik TPM, tetapi membiarkan persaingan antara Tengku Razaleigh yang lebih dikenai sebagai Ku Li dan Musa Hitam merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1981. Kem Ku Li mendakwa Mahathir melebihkan Musa yang menang tipis. Persaingan Ku Li dan Musa berlaku semula pada tahun 1984 yang dimenangi oleh Musa dengan majoriti yang besar. 

Selepas PRU 1982, Mahathir bertindak menggantikan pemimpin veteran parti. Hampir separuh daripada calon parlimen dan negeri telah ditukar. Seminggu sebelum penamaan calon, Anwar Ibrahim yang berkempen untuk PAS pada tahun 1978 telah diumumkan sebagai calon UMNO di Permatang Pauh secara mengejut. Selepas pilihan raya, pemimpin-pemimpin muda telah dilantik sebagai Menteri Besar seperti Najib Razak yang berusia 29 tahun, Rahim Tamby Chik (32 tahun) dan Mohamad Isa Samad (33 tahun). Selepas PRU 1986, Muhyiddin Yassin (39 tahun) dan Muhammad Muhammad Taib (41 tahun) dilantik sebagai Menteri Besar. 

Pada masa yang sama, bagi mengurangkan pengaruh Musa, Mahathir menurunkan pangkat Ku Li daripada Menteri Kewangan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsan  dan Industri, tetapi masih mengekalkan Ku Li dalam jemaah menteri meskipun telah bersetuju dengan Musa sebelum pemilihan parti untuk menggugurkan Razaleigh. Sejak awal lagi, Musa yang sedikit santai barangkali melihat dirinya sebagai “PM-bersekutu”  apabila media mengelarkan mereka sebagai gandingan “kerajaan 2M” . Tetapi, PM menyatakan 2M bermaksud “Mahathir Mohamad”. Musa kecewa dengan Mahathir dan letak jawatan pada Februari 1986. Ghafar Baba telah dipilih menggantikan tempatnya. 

Musuh kepada musuh saya 

Pepatah lama menyatakan “musuh kepada musuh saya ialah rakan saya”. Oleh itu, Ku Li dan Musa bersatu, menubuhkan “Team B” dalam UMNO bagi mencabar Mahathir dan Ghafar dalam Team A pada pemilihan parti pada April 1987. Daripada 1,479 perwakilan, Team A masing-masing menang dengan lebihan 43 dan 40 undi, margin paling tipis dalam sejarah pemilihan parti itu. 

Memandangkan ia merupakan sebuah kemenangan lompong buat Team A dan kejayaan moral kumpulan Ku Li, pihak yang tewas terus memberi tekanan serius kepada kerajaan Mahathir. Pada Februari 1988, mahkamah Persekutuan mengharamkan UMNO dan justeru dibubarkan. Mahathir kemudian membentuk UMNO Baru tanpa fraksi Ku Li. 

Sarjana Korea Selatan, Hwang In-won dalam bukunya yang amat penting “Personalized Politics: The Malaysian State under Mahathir” (2003) mencatatkan peristiwa dan berhujah bahawa “Rumusannya, UMNO (Baru) dibentuk berdasarkan personaliti Mahathir. Malah, pembentukan parti baharu telah membuka peluang yang telah dinantikan Mahathir sekian lama untuk menyingkirkan musuh politik daripada arus perdana parti pemerintah. 

Pemimpin penentang dalam UMNO lama telah “dipaksa menjadi pembangkang”. Ku Li menubuhkan Semangat 46 dan bekerjasama dengan DAP serta PAS dalam dua gabungan berbeza – Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah – untuk bertanding dalam PRU 1990. Ini merupakan gabungan politik pertama yang disertai DAP, merintis gabungan-gabungan politik seterusnya.

Sebelum itu, ketika krisis UMNO 1987, ketegangan kaum kian membimbangkan dan telah sampai kemuncak pada Oktober 1987. Persatuan-persatuan Cina membantah guru yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Cina yang telah dihantar ke sekolah Cina dan mengisi jawatan tertinggi. Anwar Ibrahim merupakan Menteri Pendidikan ketika itu. 

Perhimpunan pemimpin Cina di Tokong Thean Hou telah diadakan. Pemuda UMNO, di bawah pimpinan Najib Razak, berikrar untuk membuat perhimpunan balas dengan 500,000 orang Melayu pada 1 November. Kerajaan telah melancarkan Operasi Lalang pada 27 Oktober dan menahan 106 pemimpin politik dan NGO yang tidak mempunyai kaitan dengan bantahan sekolah Cina di bawah Akta Hasutan. Seramai 16 orang pemimpin DAP ditahan, termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh, Lim Guan Eng dan Kerk Kim Hock. Tiga surat khabar, Watan, Sinchew dan The Star telah ditutup. Kit Siang dan Guan Eng ialah pemimpin terakhir yang dibebaskan pada April 1989. 

Ketakutan meliputi seluruh negara sementara kemarahan yang mendalam dalam kalangan orang bukan Melayu kian reda.  

PRU8 

PRU1990 menyaksikan Barisan Nasional menang hanya 53.38% undi popular. PAS mendapat 6.72% undi tetapi dengan gelombang Semangat 46, PAS berjaya mengambil Kelantan semula selepas kalah pada tahun 1978, dengan itu munculnya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sebagai seorang pemimpin politik disegani untuk 25 tahun mendatang sehingga beliau meninggal dunia pada Februari 2015. 

DAP mendapat 17.61% dan Semangat 46 pula 15.06% undi. Disebabkan penentuan sempadan dan pembahagian tidak sekata, BN mampu menang 70.56% kerusi, PAS 3.65%, DAP 11.11% dan Semangat 46 4.44%. Banyak kerusi yang hampir dimenangi oleh pembangkang. 

Dr. Mahathir telah membaca realiti politik dengan baik: jika lawan BN bersatu dan bergabung kekuatan, dan gabungan undi popular mereka sampai cukup haulnya, maka akan berlaku perubahan kerajaan.

Sebelum itu, BN menang dengan memecahkan pembangkang, di pihak Melayu, PAS bersaing dengan UMNO untuk menjadi lebih Islam. Oleh itu, pengundi bukan Melayu tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengundi BN kerana tidak tergamak mengundi PAS. Bagi pengundi bukan Melayu, pada tahun 1980-an, DAP dilihat bersaing dengan MCA untuk melawan hegemoni UMNO, yang ditafsirkan pengikut mereka sebagai hegemoni Melayu.  DAP digambarkan sebagai ancaman kepada kepentingan Melayu dan sangat sukar untuk orang Melayu mengundi DAP. 

Meskipun Ku Li kalah PRU8, undi popular gabungan pembangkang telah menghancurkan rasa selesa dan kebal BN. Dr Mahathir tahu jika beliau kehilangan separuh undi Melayu dan bukan Melayu, BN akan duduk di blok pembangkang. 

Wawasan 2020 dan impaknya

Wawasan 2020 ialah tindak balas poitik PRU 1990. Pada 28 Februari 1991, Dr Mahathir telah melancarkan idea Bangsa Malaysia dalam ucapan Wawasan 2020. Hasilnya, seluruh naratif BN berubah. Anwar Ibrahim, yang dilihat sebagai pelapis baru Dr Mahathir, telah mempromosikan idea “Melayu Baru” menjelang pemilihan UMNO 1993 yang selari dengan naratif Bangsa Malaysia. 

Sejak tahun 1990-an, ketegangan antara etnik Melayu dan Cina semakin reda. Ia bukan lagi persaingan antara Melayu melawan Cina, ia lebih kepada Mahathir menentang hegemoni Amerika Syarikat, UK, Australia dan Singapura dan kadang kala Yahudi. Musuh tidak lagi terdiri daripada mereka di dalam negara.

Ketika saya mula meminati politik pada pertengahan 1980-an, perubahan dari segi persepsi amat jelas bagi saya.  Pemuda bukan Melayu pada tahun 1990-an memuja Mahathir dan Anwar walaupun mereka pernah dibenci pada tahun 1980-an. Sebagai seorang kanak-kanak yang berpendidikan Cina tulen, saya mula membaca Berita Harian dan Utusan untuk menambah baik Bahasa Melayu saya pada tahun 1993. Setiap hari saya akan menghabiskan masa membaca akhbar selama dua jam. Saya masih ingat, Berita Harian ditulis untuk semua rakyat Malaysia dan Utusan Malaysia di bawah pimpinan ketua pengarang Johan Jaafar kurang menulis isu perkauman. Pada masa yang sama, ekonomi berada pada tahap yang baik dan berkembang pada tahun 1990-an. 

Hasilnya BN di bawah kepimpinan Mahathir dan Anwar sebagai TPM memenangi 65% undi popular pada PRU 1995, dengan peralihan undi besar-besaran oleh pengundi bukan-Melayu atas pagar. Buat pertama kali sejak tahun 1969, BN berjaya mendapat separuh undi Cina. Dr Mahathir melumpuhkan DAP dengan mengambil alih naratif parti itu. DAP mengalami kekalahan teruk pada PRU 1995, 1999 dan 2004.

Untuk rekod, Joseph Pairin Kitingan daripada Parti Bersatu Sabah telah keluar daripada BN di tengah-tengah PRU 1990, dengan harapan gabungan politik Ku Li bakal menang di peringkat persekutuan. Mahathir yang menang tidak memaafkan Pairin dan memulakan langkah bagi UMNO untuk masuk ke Sabah dan berjaya mengambil alih Sabah dari tahun 1994 hingga 2018. Demikianlah latar pilihan raya Sabah yang begitu kalut baru-baru ini.

Ketika Malaysia terus dalam kecelaruan politik, menarik sekali melihat pemimpin utama masih memainkan peranan di peringkat nasional manakala generasi muda hari ini  tidak mempunyai gambaran tentang peranan yang telah dimainkan pemimpin tersebut pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Ringkasnya, PRU 1990 dan selepas itu telah meletakkan peraturan baharu dalam politik Malaysia.

Pertama, cubaan gabungan pembangkang berbilang kaum untuk menang merentasi garis perkauman bukan lagi satu kemustahilan, dan memberi cabaran serius terhadap BN walapun ia mengambil masa selama 28 tahun untuk ‘raksasa’ itu dikalahkan.

Kedua, jalan tengah Malaysia boleh menerima naratif kebangsaan yang menarik kesemua kumpulan etnik dengan mengetengahkan sebuah impian yang lebih besar tanpa perlu melagakan satu kumpulan dengan kumpulan yang lain, dan ini adalah sebuah formula kejayaan.

Saya melihat naratif Malaysia masih menjadi formula kemenangan untuk membina negara dengan politik sihat. Ia pernah berlaku sebelum ini dan boleh berlaku sekali lagi. 

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi