‘Three Kingdoms’ versi Malaysia

Satu-satunya jalan keluar daripada kebuntuan politik hari ini ialah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan pilihan raya umum. Pun begitu, masanya amat tidak kena. Di saat berdepan wabak Covid-19, melindungi nyawa rakyat Malaysia adalah lebih utama.

Namun, pilihan raya tetap akan menjelang, cumanya entah bila. Kita perlu bersiap sedia. Bagi memahami kekacauan politik hari ini, kita harus mampu menanggapi situasi Three Kingdoms atau ‘San Guo’ (Tiga Kerajaan), sama ada dari segi gabungan politik atau blok pengundian.   

‘San Guo’ dari tahun 220 hingga 280 Masihi adalah pembahagian tiga wilayah China antara negeri-negeri Wei, Shu, dan Wu. Legenda China menceritakan kisah pergelutan epik antara tiga negeri ini, yang semuanya mengaku mahu menyatukan negara. Dalam gandingan fakta dan fiksyen, ia merupakan sebuah kisah gabungan politik, diplomasi dan tipu muslihat dengan beberapa kejutan.

Evolusi gabungan

Rakyat Malaysia telah terbiasa dengan dominasi hegemoni politik tunggal, dalam bentuk Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, sejak pilihan raya 1959 sehingga tsunami politik 2008. 

Pada 2008, muncul konfrontasi antara dua gabungan sehingga berlakunya rampasan kuasa Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan yang baru sahaja dipilih. Kini kita telah memasuki arena pertembungan tiga penjuru yang dijangka akan berterusan, paling tidak sampai segala-galanya selesai pada pilihan raya akan datang.

Politik Malaysia bermula dengan letusan hebat pada tahun 2021: hampir semua bahagian Umno menolak kerjasama parti itu dengan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin. 

Setelah mengkhianati Pakatan Harapan, pada 1 Mac 2020, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan dengan sebuah gabungan tangkap muat antara parti dan Ahli-ahli Parlimen yang berpaling melalui Langkah Sheraton untuk membentuk majoriti senipis kulit bawang. Kerajaannya memiliki paling ramai 114 orang Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.   

Gabungan pengkhianat ini pada dasarnya tidak stabil dengan parti Bersatu pimpinan Muhyiddin sendiri hanya mempunyai 31 kerusi, enam daripadanya dimenangi pada pilihan raya 2018, 15 pula daripada bekas Ahli Parlimen Umno yang lompat selepas pilihan raya dan 10 dari puak Datuk Seri Azmin Ali yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat. 

Mereka disertai oleh 18 kerusi PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak sebanyak 18 kerusi, Barisan Nasional 42 (dengan 39 kerusi UMNO) dan beberapa Ahli Parlimen lain. (Seorang Ahli Parlimen Umno baru-baru ini meninggal dunia). 

UMNO/Barisan Nasional telah enggan bergabung dengan gabungan Perikatan Nasional; oleh itu kerajaan yang memerintah terdiri daripada dua gabungan – Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.

Blok terbesar di pihak pembangkang adalah Pakatan Harapan yang secara rasmi terdiri daripada PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 38 kerusi, DAP (42), dan Amanah (11). Dari Sabah, parti Warisan pimpinan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal mempunyai 8 kerusi sementara UPKO mempunyai satu kerusi. Parti Tun Dr Mahathir Mohamad yang belum didaftarkan pula mempunyai 4 kerusi sementara dua bekas anak didiknya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr Maszlee Malik sedang mencari wahana politik baharu. 

Anwar cenderung untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membentuk kerajaan baharu tetapi DAP dan Amanah tidak selesa dengan idea tersebut. DAP dan Amanah lebih suka supaya seluruh kekuatan pembangkang bersatu sebagai satu blok sebelum berunding dengan yang lain. 

Apabila pilihan raya tiba

Untuk memahami politik Malaysia mulai sekarang memerlukan kita berfikir dalam kerangka ‘San Guo’. 

Dari segi gabungan, kini terdapat tiga gabungan:

  • Perikatan Nasional di bawah Muhyiddin
  • Barisan Nasional di bawah Najib/Zahid; dan
  • Pakatan Harapan Plus di bawah Anwar/Shafie/Mahathir.

Apakah senario yang mungkin berlaku ketika pilihan raya diadakan? Tidak kira sama ada kerajaan Muhyiddin bertahan untuk jangka masa terdekat, kemungkinan besar Umno akan menentang Bersatu.

PAS lebih selesa bersama Bersatu. Ia mahukan dominasi yang lebih besar di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Sejak perpecahan PAS pada tahun 2015 yang menyaksikan perginya kelompok yang lebih moderat, kepemimpinan parti sekarang tidak berniat untuk memenangi kerusi pelbagai kaum di Pantai Barat dan mahu menjadi  kingmaker’ dalam politik nasional dengan memenangi seberapa banyak kerusi di kawasan ‘Lingkungan Melayu’. 

Bersatu akan dapat menyerahkan hampir kesemua kerusi di negeri-negeri ini kepada PAS kerana Bersatu masih lemah. Bagaimanapun, Umno tidak akan menyerahkan kerusi ‘Lingkungan Melayu’ ini kepada PAS kerana ahli-ahli Umno di negeri-negeri tersebut tidak akan membenarkan pucuk pimpinan berbuat demikian. 

Umno masih dipimpin oleh Zahid dan Najib dengan hampir tiada rasa sesal dan tanpa agenda reformasi walaupun tewas pada PRU14. Ada cakap-cakap tentang kebangkitan Umno tetapi ia sebenarnya lebih kepada gerakan menentang Muhyiddin dan Bersatu pada saat kesukaran ekonomi. 

Walaupun Umno telah berjaya mendapatkan sokongan, ia merugikan kerajaan Perikatan Nasional yang mana Barisan Nasional juga merupakan sebahagian daripadanya. 

Bagaimanapun, Zahid dan Najib masih menjadi racun kepada pengundi Melayu pertengahan, apatah lagi populasi negara yang lebih luas. Umno perlu memilih sama ada melangkah untuk mereformasi dan mengangkat kepemimpinan baharu atau membiarkan kekosongan besar untuk diisi oleh pihak-pihak lain. 

Saya tidak menolak kemungkinan Umno akan cuba menyingkirkan Zahid dan Najib, dan menangani masalah integritinya secara serius. Tetapi setakat ini perkara itu tidak berlaku. 

Dalam senario ‘San Guo’ seperti ini, wujud kelompangan besar untuk diisi oleh gabungan besar pembangkang.

Apa yang mungkin berlaku

Dari segi blok pengundian, daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, 65 kerusi adalah kubu kuat gabungan Pembangkang yang menyatukan sokongan bukan Melayu yang kuat dan tahap undi orang Melayu yang signifikan di beberapa kawasan geografi terpilih. Daripada 65 kerusi, 55 telah dimenangi pada tahun 2008, 2013 dan 2018 sementara sepuluh lagi dimenangi pada tahun 2013 dan 2018. Gabungan Pembangkang berkemungkinan akan mengekalkan kerusi-kerusi ini.

Walaupun berada di tahap terendah ketika kebencian pengundi terhadap Najib dan isterinya Rosmah Mansor turut menimpanya, UMNO berjaya memenangi 54 kerusi di Semenanjung pada PRU14. Dan itu merupakan senario terburuk buat UMNO. Oleh itu, baki 46 kerusi di Semenanjung adalah kerusi ‘swing’ yang akan menentukan masa depan Malaysia.

Sekiranya Gabungan Pembangkang dapat memenangi 35 kerusi tambahan kepada 65 kerusi sedia ada, iaitu memenangkan 100 kerusi di Semenanjung, ia akan mencapai minimum 112 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti dengan bantuan kerusi dari Sabah dan Sarawak.   

Sekarang, kita berhadapan senario ‘San Guo’ di mana Gabungan Pembangkang harus mula memikirkan tentang blok 65 kerusinya di Semenanjung. Ia mesti merangka strategi untuk menjadi blok terbesar dalam pilihan raya tiga penjuru. 

Walaupun Umno dan Bersatu serta PAS berada di ambang perang saudara, Gabungan Pembangkang harus ingat satu perkara: jangan berikan Zahid dan Najib jalan untuk bebas dari penjara. Amat sukar untuk memaafkan mereka atas kerosakan yang telah mereka lakukan terhadap negara kita yang tercinta.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi