

Kenyataan Media oleh Liew Chin Tong, Pengerusi DAP Johor pada hari Selasa 30 Mac 2021
Kerajaan negeri Johor perlu mengadakan Sidang DUN Alternatif seperti yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bagi memastikan amalan semak dan imbang terhadap ketelusan badan eksekutif negeri terus ditegakkan walaupun berada dalam situasi darurat.
Sesi libat urus ini penting bagi setiap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Johor mengetahui perkembangan terkini dasar, projek dan program yang sedang diusahakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO). ADUN Johor juga mempunyai ruang untuk mendapatkan penjelasan daripada EXCO mengenai isu-isu rakyat Johor sepanjang tempoh darurat dan pandemik dalam sesi ini.
Sidang DUN Alternatif di Johor adalah platform terbaik bagi ADUN dan EXCO kerajaan negeri membincangkan isu-isu penting seperti persediaan kerajaan Johor dalam perancangan pembukaan semula sempadan Johor – Singapura bagi memastikan pekerja Malaysia yang bekerja di seberang tambak dapat meneruskan keberlangsungan hidup. Penting juga bagi kerajaan Johor membincangkan strategi mengatasi isu pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Johor yang masih rendah iaitu sekitar 27 peratus.
Sesi libat urus ini dapat memperkukuhkan kerjasama dwipartisan antara kerajaan negeri dan ADUN Johor untuk memastikan sistem demokrasi negeri efektif dalam menyelesaikan isu rakyat ketika darurat. Saya menggesa pentadbiran Datuk Ir. Hasni Mohamad menunjukkan kepimpinan yang terbaik untuk melaksanakan Sidang DUN Alternatif di negeri Johor dalam tempoh terdekat demi memastikan kesejahteraan rakyat Johor terbela pasca krisis pandemik COVID-19.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!