

Kenyataan media Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP Liew Chin Tong di Bemban, Melaka pada 30 Oktober 2021
Memang tidak dinafikan bahawa pilihan raya negeri Melaka merupakan satu cabaran yang amat sukar buat Pakatan Harapan.
Kekangan untuk berkempen, kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19, fitnah dalam politik serta sikap dingin pengundi menjadikan PRN ini satu laluan yang sukar.
Namun begitu, langit tidak selalu mendung. PH akhirnya mencapai kata sepakat untuk masuk gelanggang PRN Melaka sebagai satu pasukan yang teguh dan padu.
Dalam sidang media semalam, pimpinan tertinggi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa semua parti komponen telah mencapai kata sepakat dalam agihan kerusi – PKR 11, Amanah 9 dan DAP 9, dengan jaminan bahawa kerusi Parlimen Alor Gajah akan dikembalikan kepada DAP dalam pilihan raya umum nanti.
Ketiga-tiga pemimpin itu juga bersetuju untuk menggunakan lambang Pakatan Harapan sebagai logo bersama. Keputusan yang dipuji ini amat penting kerana ia akan memberi kesan positif menjangkaui PRN Melaka.
Setelah bertegang urat buat seketika, keputusan ini mengakhiri teka-teki berhubung pendirian PH sejak kebelakangan ini. Keyakinan baharu ini akan menghasilkan gabungan yang lebih mantap dan kukuh.
PH yang kini bersatu padu dengan satu logo di bawah pimpinan Adly Zahari yang telah berjaya menyelesaikan agihan kerusi, kini bersedia untuk berhadapan dengan lawannya – Barisan Nasional pimpinan UMNO dan Perikatan Nasional yang diterajui Bersatu serta PAS yang boleh sahaja ke sana dan ke sini di antara BN dan PN.
Jadi, apakah pilihan sebenar untuk pengundi Melaka?
PH menawarkan wawasan Malaysia yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan untuk memimpin, menjaga dan mengambil berat keperluan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Ia tidak akan bermain dengan sentimen kaum serta amalan perkauman.
Manakala BN dan PN serta PAS yang sering bermain dengan politik ketuanan kaum tidak akan mampu mengatasi masalah yang kita hadapi sekarang. Tanpa prinsip kepelbagaian kaum serta keprihatinan untuk semua kaum, masalah perkauman akan terus menjadi barah dalam masyarakat kita.
Kita tidak boleh membiarkan Melaka dan Malaysia terikat dengan politik lama. Pakatan Harapan yang bersatu padu adalah pilihan terbaik untuk rakyat Melaka.
Sebenarnya, PH telahpun mendapat mandat sah rakyat dalam PRU 2018 tetapi kemenangan itu dirampas oleh pihak lawan akibat perbuatan keji beberapa pengkhianat politik.
Kini tiba masanya untuk PH mendapatkan semula haknya. Dengan sokongan rakyat, PH mampu membina semula Melaka dan Malaysia dengan lebih baik.
Liew Chin Tong
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!