

Dalam satu sidang media saya bersama dengan Ahli Parlimen Seremban Sdr Anthony Loke petang semalam, kami mempersoalkan sama ada keputusan kerajaan untuk menangguhkan buat kali kedua pembukaan semula sempadan ialah kerana takut dengan kemungkinan anak muda akan pulang ke Johor untuk mengundi Pakatan Harapan.
Sedangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencadangkan supaya sempadan itu dibuka selewat-lewatnya 1 Januari lalu untuk memulihkan semula ekonomi Johor.
Tetapi tanpa sebarang sebab, ia telah ditangguhkan hingga 1 Mac lalu. Hari ini sudah 6 Mac tetapi sempadan masih ditutup. Apa yang sedang terjadi dengan kerajaan ini?
Dalam “Tawaran baharu untuk selatan Johor, Harapan baharu untuk Perling” untuk pengundi Perling, tawaran pertama saya ialah menuntut kerajaan persekutuan supaya membuka semula sempadan Johor-Singapura dengan segera.
Pembukaan semula sempadan ini amat penting untuk rakyat Johor; bukan sahaja industri perlu dipulihkan segera tetapi sektor pelancongan juga harus dihidupkan semula kerana telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 serta kesan ekonominya.
Kami telah mencadangkan bahawa kerajaan persekutuan boleh membuka semula sempadan ini dengan menggunakan kaedah uji-dan-lepas (test-and-release) tanpa perlu kuarantin.
Jika cadangan Pakatan Harapan serta saranan MPN masih tidak dipedulikan oleh kerajaan Ismail Sabri, adakah ini bermakna beliau dan UMNO-Barisan Nasional sebenarnya takut dengan pengundi Johor di Singapura yang akan pulang beramai-ramai jika sempadan dibuka?
Apakah UMNO-BN serta sekutu-sekutu mereka sanggup membiarkan Bangsa Johor terus terhimpit ditekan masalah ekonomi semata-mata untuk memenangkan UMNO-BN? Terpulang kepada pengundi Perling dan Johor menentukannya pada 12 Mac ini.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 24 Feb 2023·
Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!