Johor perlukan sebuah kerajaan baharu untuk mencetus era baharu Malaysia

Tiga hari lagi, warga Johor akan memutuskan gabungan parti mana yang akan menjadi kerajaan negeri untuk lima tahun akan datang, dan seterusnya menentukan masa depan Malaysia.

Pilihan raya negeri ini telah dicetuskan oleh UMNO-Barisan Nasional untuk kepentingan politik pemimpin mereka sahaja.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan telah menyatakan bahawa jika Barisan Nasional tidak menang PRN Johor sekalipun, UMNO akan tetap mencari jalan untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin pula dengan angkuhnya berkata UMNO mesti menjadi parti “Abang Besar” dalam gabungan kerajaan untuk mewujudkan kestabilan di Malaysia.

Di Johor, UMNO mengusung ke sana sini bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang telahpun didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan korupsi. Tujuannya ialah untuk menonjolkan kepada pengundi bahawa inilah imej zaman kegemilangan UMNO. Malah, MCA pun terhegeh-hegeh menyambut Najib.

Sebenarnya, UMNO tidak pernah serik dan tidak belajar apa-apa daripada kelemahan pentadbiran, salah guna kuasa dan korupsi yang berlaku pada zaman pemerintahannya yang menyebabkan rakyat menolaknya pada PRU 2018. Keangkuhan kebanyakan pemimpin UMNO kini terserlah jelas.

Bolehkah kita percaya kononnya Barisan Nasional yang didalangi UMNO mampu membawa kestabilan? Sanggupkah kita ditipu sekali lagi?

Jangan sekali-kali kita lupa bahawa UMNOlah yang menjadi dalang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan selepas berkomplot dengan Bersatu dan beberapa petualang PKR untuk mengkhianati kerajaan yang telah dipilih oeh rakyat secara demokratik dan sah.

UMNO jugalah yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin akibat kegilaan kuasa para pemimpin UMNO walaupun mereka bersama dalam satu gerombolan.

Tidak cukup dengan itu, setelah Naib Presiden UMNO Dato’s Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri pun, masih ramai pemimpin UMNO yang tidak puas hati dengan beliau.

Seperti yang diketahui umum, UMNO juga menjadi punca pilihan raya negeri Johor terpaksa diadakan walaupun UMNO sendiri yang memegang kuasa kerajaan negeri.

Semua ini menuju ke arah komplot pimpinan UMNO untuk memaksa PRU mengejut diadakan secepat mungkin, jika kita sebagai rakyat dan pengundi membenarkan UMNO-BN menang PRN Johor.

Saya akui bahawa Pakatan Harapan bukanlah gabungan atau kerajaan yang sempurna. Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula gabungan politik.

Namun, jika dibandingkan dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, saya yakin ramai yang setuju bahawa Pakatan Harapanlah yang paling serius untuk melaksanakan reformasi dan penambahbaikan pentadbiran negara.

Setelah menyedari dan mempelajari daripada beberapa kekhilafan lalu, kami kini bersedia untuk membina semula kerajaan negeri Johor yang bersih dan dinamik, serta merancang untuk kembali sebagai kerajaan persekutuan dalam PRU akan datang.

Saya menyeru kepada semua warga yang mahukan Malaysia yang lebih baik untuk bersama kami berjuang bagi mendapatkan semula mandat mentadbir Johor.

Marilah kita sama-sama meyakinkan para pengundi Johor untuk keluar mengundi. Marilah kita yakinkan pengundi Johor bahawa perubahan dan reformasi memerlukan masa untuk menampakkan kejayaan, sekurang-kurangnya lima tahun sepenggal yang lengkap.

Marilah kita yakinkan pengundi Johor bahawa kita mampu untuk menjadikan Malaysia lebih baik lagi, dan kita akan dapat menewaskan UMNO-Barisan Nasional, sekali lagi.

Dalam tempoh tiga hari terakhir ini, kita perlu menjalankan kempen bisik-membisik, pujuk-memujuk dan ajak-mengajak dalam kalangan pengundi Johor. Kita perlukan setiap warga Malaysia menyertai usaha ini.

Bagi DAP, kami telah meletakkan calon-calon yang kami anggap antara yang terbaik. Semua calon sudah bersiap-sedia untuk memimpin, mentadbir dan memenuhi keperluan-keperluan utama pengundi.

Kami bekerjasama rapat dengan rakan-rakan komponen Pakatan Harapan serta parti sahabat untuk memberi yang terbaik untuk Johor.

Bangsa Johor, termasuk warga Perling, memerlukan pimpinan yang dapat menjaga kepentingan anda semua.

Inilah masanya Bangsa Johor bangkit untuk memilih Pakatan Harapan. Kerana anda tahu andalah orangnya yang mampu membuat perubahan. Undilah dengan penuh bijaksana.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi