5 Tawaran Untuk Perling

1) Menambah baik sistem pengangkutan awam

Perancangan membangunkan sistem pengangkutan awam adalah amat penting untuk Perling dan selatan Johor. Untuk jangka pendek, usaha mengatasi kesesakan lalu lintas diperlukan. Manakala untuk pelan jangka panjang, melalui perancangan naik taraf jalan raya dan pengangkutan awam, beban rakyat berpendapatan rendah juga dapat diringankan.

Pertama, menyelesaikan masalah lalu lintas dan keselamatan kawasan perumahan di antara Nusa Bestari 2 dan Taman Bukit Indah. Jalan alternatif yang menghubungkan kedua-dua kawasan kediaman perlu dibina. Cadangan ini telah dimasukkan dalam Belanjawan 2020 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) Johor dan kerajaan baharu perlu melaksanakannya dengan segera.

Kedua, terdapat ramai pekerja yang berulang-alik dari Johor ke Singapura bermastautin di DUN Perling dan ia menyebabkan kawasan kediaman mengalami masalah kekurangan tempat letak kereta.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mempunyai perancangan membina tempat letak kereta bertingkat di tanah bersebelahan Hotel Granada dan memperkenalkan kemudahan Park and Ride untuk perkhidmatan bas. Rancangan ini tergendala selepas kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020. Apabila Pakatan Harapan mendapat mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri Johor nanti, perancangan ini perlu dimulakan segera.

Ketiga, kerajaan baharu perlu memperkasakan perkhidmatan bas dan pelbagai kemudahan pengangkutan awam bagi mengurangkan masalah penggunaan kenderaan persendirian yang terlalu banyak.

2) Menambah baik pengurusan banjir

Kawasan bencana banjir DUN Perling termasuk Kampung Pasir, dan di sekitar kawasan komersial dan perumahan seperti Bukit Indah dan Nusa Bestari, yang sering dinaiki air akibat hujan lebat.

Saya akan bekerjasama dengan semua pihak untuk menambah baik sistem perparitan dan perkhidmatan pam air di Kampung Pasir dan mengatasi masalah banjir setempat. Di kawasan komersial dan kediaman seperti Bukit Indah dan Nusa Bestari, pihak berkuasa tempatan perlu melakukan pembersihan secara berkala.

Untuk pelan jangka panjang, pembangunan tanah dan pemuliharaan tanah lembap di DUN Perling harus dikaji semula bagi menampung taburan hujan yang tinggi akibat perubahan iklim.

3) Melestarikan persekitaran pasar

Bazar dan pasar adalah nadi kehidupan buat warga Perling dan peniaga kecil. Saya akan berusaha mengekalkan dan menaik taraf kemudahan asas pasar, mempertingkatkan kebersihan di kawasan pasar sepenuhnya, memperluaskan dan menggalakkan peluang ekonomi tempatan dan keusahawanan belia di DUN Perling.

4) Menambah baik taman rekreasi awam

Taman rekreasi di DUN Perling bukan sahaja untuk kemudahan warga Perling tetapi juga dikongsi oleh penduduk selatan Johor. Saya akan memberi fokus untuk menyelenggara dan menambah baik taman rekreasi di sekitar DUN Perling selain perancangan mengintegrasikan persekitaran ekologi, lalu lintas, dan landskap untuk mengindahkan taman awam sekitar DUN Perling.

5) Memperkasa komuniti tempatan

Johor Bahru adalah bandar moden dengan populasi penduduk agak padat yang dibina atas warisan bandar lama yang pernah menjadi pelabuhan utama lebih 100 tahun yang lalu.

Pengurusan warisan, perancangan bandar, dan sistem pengangkutan awam yang tersusun boleh menjadikan Perling sebagai pusat lingkaran kehidupan bandar Johor Bahru. Ia tentunya dapat menarik pelancong tempatan dan luar negara. Tetapi, apa yang lebih penting, usaha ini dapat mengukuhkan semangat perpaduan dan jati diri sebagai Bangsa Johor.

Pihak kerajaan dan unit pengurusan perlu melibatkan pemegang taruhuntuk memberikan pendapat bagi mewujudkan ruang awam yang memenuhi keperluan penduduk. Jika saya dipilih menjadi wakil rakyat DUN Perling dan Pakatan Harapan diberi mandat menubuh kerajaan negeri semula, industri budaya dan kreatif di Perling akan diperluaskan bagi menghidupkan semula warisan rakyat dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan buat anak muda.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi