Bangsa Johor perlu pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik

Perutusan Hari Pekerja oleh Ketua Pembangkang Johor Liew Chin Tong

Sempena 1 Mei hari ini, saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga yang bekerja di Johor serta Bangsa Johor yang bekerja di mana-mana sahaja.

Adalah penting untuk semua pihak – penggubal dasar, majikan dan pekerja – menerima hakikat bahawa suasana kerja sekarang untuk pekerja di Johor dan di luar Johor tidak banyak membantu ekonomi negeri, malah tidak mampu meningkatkan taraf hidup rakyat Johor.

Ramai warga Johor bekerja di Singapura kerana gaji di Johor dan banyak tempat lain di Malaysia terlalu rendah, dan kini keadaannya lebih buruk dengan perbezaan ketara dalam pertukaran kadar matawang asing.

Saya menyeru Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan usaha menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik sebagai agenda utama aktiviti ekonomi negeri.

Bagaimana kita boleh melaksanakan usaha ini?

Sebagai contoh, semua pelaburan masuk ke negeri perlu dinilai atas dasar sumbangannya untuk menghasilkan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik kepada warga Malaysia.

Memang kita memerlukan pelaburan dalam apa bentuk sekalipun tetapi adalah lebih baik jika kita dapat membawa masuk pelaburan yang berkualiti tinggi. Peluang-peluang pekerjaan berkualiti ini memang tepat untuk rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, kerana ramai antara mereka sudahpun mendapat latihan kemahiran tinggi, TVET atau ijazah pengajian tinggi.

Di Johor, pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik bermakna upah sekurang-kurangnya perlu berada pada tahap dua pertiga daripada gaji yang diterima oleh pekerja Malaysia di Singapura.

Ini bermakna jika seseorang pekerja separuh mahir Malaysia di Singapura dibayar SGD$2,000 sebulan, beliau tentunya sanggup kembali ke tanah air jika majikan Malaysia membayar gaji bulanannya di antara RM3,000 dan RM4,000. Walaupun kurang sedikit daripada gaji di Singapura, pekerja Malaysia akan lebih selesa dan sejahtera apabila dapat bersama keluarga di rumah selepas kerja setiap hari.

Untuk mencapai tahap gaji tersebut untuk pekerja separuh mahir, dasar-dasar perlu ditumpukan kepada peningkatan teknologi, automasi dan cabaran revolusi industri keempat atau IR 4.0. Ini akan dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga buruh fizikal, terutamanya pekerja asing, dan akhirnya mampu untuk membayar gaji yang lebih baik kepada setiap pekerja Malaysia.

Saya faham bahawa perubahan besar struktur gaji ini dalam ekonomi Johor dan Malaysia tidak akan berlaku dengan sekelip mata. Ia mungkin mengambil masa di antara 5 dan 10 tahun untuk cita-cita ini menjadi kenyataan.

Namun, kita semua tahu bahawa perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah pertama. Dan langkah ini harus bermula sekarang.

Kerajaan Negeri Johor yang baharu ini perlu mewujudkan satu road map atau peta panduan rancangan 5 tahun untuk menyediakan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik. Pihak Pembangkang yang saya pimpin bersedia untuk menyumbangkan idea bagi memastikan usaha ini mencapai kejayaan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi