

Kelmarin banyak kawasan di Johor Bahru ditenggelami air, buat kesekian kalinya.
Walaupun banjir bukan perkara baharu, masalah yang dihadapi sekarang ialah banjir kilat yang semakin kerap berlaku yang mengakibatkan kerosakan besar. Kekerapan banjir kilat ini mencerminkan kesan masalah iklim serta kegagalan kita menangani banjir.
Seperti yang saya suarakan dalam kenyataan saya semalam, pihak Pembangkang telah mencadangkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, supaya menubuhkan beberapa Jawatankuasa Pilihan dalam Dewan Negeri Johor, termasuk Jawatankuasa Pilihan Masalah Iklim, Perancangan Bandar dan Luar Bandar.
Sejak dipilih sebagai ADUN Perling dalam pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu, saya kerap melawat banyak tempat yang dilanda banjir kilat, terutamanya dalam kawasan saya sendiri serta persekitarannya.
Jelas sekali bahawa kebanyakan banjir yang telah berlaku adalah disebabkan oleh perancangan bandar yang lemah.
Sebagai contoh, apabila kawasan perumahan Evergreen di Taman Tampoi Indah dibina pada dekad 1990-an, persekitarannya dikelilingi kehijauan alam semula jadi. Sepanjang dua dekad yang lalu, banyak projek dibangunkan di sekitarnya tetapi entah kenapa pihak berkuasa telah gagal menyambungkan sistem perparitan di Evergreen kepada outlet untuk mengalirkan air keluar. Ini mengakibatkan air bertakung serta tersekat, menyebabkan banjir di taman perumahan ini.
Kebersihan parit merupakan masalah yang besar. Air gagal mengalir lancar dalam parit dan longkang akibat perbuatan sesetengah orang yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalamnya, berlakunya timbunan mendapan pasir, dan juga kerja pembersihan yang tidak dilakukan dengan betul serta tidak mengikut jadual.
Satu lagi masalah yang jelas berlaku tetapi tidak ditangani dengan baik ialah menjaga kebersihan sistem parit bertutup (concealed drain). Bagi sesetengah orang, mereka menganggap seolah-olah parit bertutup sebagai tempat untuk menyembunyikan sampah dan mendapan pasir tanpa dilihat oleh orang ramai.
Saya juga telah melawat beberapa kampung dalam bandar seperti Kampung Pasir yang tidak mempunyai sistem perparitan, malah beberapa sungai berdekatan dengannya dipenuhi sampah. Kampung-kampung ini tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja oleh pihak berkuasa.
Melaksanakan kerja penebatan banjir akan dapat mengurangkan masalah banjir kilat di kampung-kampung ini serta kawasan bandar di sekitarnya.
Kerajaan Negeri Johor, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi Persekutuan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu bekerjasama untuk memastikan sistem perparitan dan laluan air dirancang dengan baik, dijaga dengan rapi dan dibersihkan dengan kerap.
Kerajaan Negeri Johor juga perlu memastikan agensi-agensi Pusat dan Negeri memahami bahawa masalah iklim adalah satu cabaran yang besar. Ini akan membolehkan mereka menghasilkan rancangan yang jelas untuk menebat banjir serta memastikan bandar-bandar bersama para penghuninya bersiap-sedia menghadapi bencana akan datang.
Menyedari hakikat ini, Pembangkang Dewan Negeri Johor bersedia mencapai kata sepakat dengan Kerajaan Negeri untuk menggerakkan sokongan rakyat kepada usaha menangani masalah iklim dan melaksanakan program menebat banjir.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!