๐——๐—ฒ๐˜„๐—ฎ๐—ป ๐—ก๐—ฒ๐—ด๐—ฒ๐—ฟ๐—ถ ๐˜€๐—ฒ๐—ฝ๐—ฎ๐˜๐˜‚๐˜๐—ป๐˜†๐—ฎ ๐—บ๐—ฒ๐—ป๐—ท๐—ฎ๐—ฑ๐—ถ ๐—ฝ๐—ฒ๐—ป๐˜๐—ฎ๐˜€ ๐˜‚๐—ป๐˜๐˜‚๐—ธ ๐— ๐—ฒ๐—ป๐˜๐—ฒ๐—ฟ๐—ถ ๐—•๐—ฒ๐˜€๐—ฎ๐—ฟ ๐—ฏ๐—ฒ๐—ป๐˜๐—ฎ๐—ป๐—ด๐—ธ๐—ฎ๐—ป ๐—ฑ๐—ฎ๐˜€๐—ฎ๐—ฟ ๐—ธ๐—ฒ๐—ฟ๐—ฎ๐—ท๐—ฎ๐—ฎ๐—ป ๐—ป๐—ฒ๐—ด๐—ฒ๐—ฟ๐—ถ

Izinkan saya menulis di sini kerana Peraturan Tetap Dewan Negeri Johor tidak membenarkan pertanyaan, permintaan untuk penerangan atau pencelahan sewaktu Menteri Besar sedang berucap di dalam Dewan Negeri Johor.

Ucapan ulung Datuk Onn Hafiz bin Ghazi sebagai Menteri Besar di Dewan Negeri Johor semalam memang dinanti-nantikan kerana ramai mempunyai harapan yang tinggi bahawa beliau akan menonjolkan kualiti kepimpinan transformasi atau transformative leadership.

Namun, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Saya kecewa kerana Datuk Onn Hafiz, walaupun muda orangnya, telah memilih cara lama dan lapuk untuk berpolitik dalam Dewan Negeri. Beliau hanya mengeluarkan tomahan politik terhadap pihak pembangkang tanpa menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau. Ini bererti beliau gagal membuka lembaran baru untuk menjadikan Johor negeri teladan dalam politik matang yang transformatif.

Dalam ucapan penggulungan beliau, isinya lebih ke arah memenangi hati penyokongnya sendiri kerana ura-ura pilihan raya umum akan diadakan tidak berapa lama lagi. Sedangkan di dalam Dewan Negeri yang mulia, seorang Menteri Besar sepatutnya tidak mengelak atau melarikan diri daripada menjawab serta menjelaskan isu-isu berkaitan dasar-dasar kerajaan.

Sedangkan teladan yang baik telahpun ada sebelum ini. Walaupun saya bukan Ahli Dewan Negeri ketika Datuk Hasni Mohammad menjadi Menteri Besar Johor, saya mengikuti semua ucapan beliau di Dewan Negeri. Lebih daripada separuh ucapan beliau menyentuh dasar dan rancangan kerajaan.

Untuk membantu kerajaan Johor, saya telah mengemukakan tiga cadangan kepada Datuk Onn Hafiz, iaitu penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri, pembentangan resolusi Dewan Negeri untuk menggesa Kerajaan Pusat memperkasakan kuasa negeri, dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Dewan Negeri Johor untuk mengkaji perkara ini.

Datuk Onn Hafiz menolak Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri atas alasan kononnya tidak mahu berlaku ketegangan hubungan di antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan-kerajaan negeri. Dua lagi cadangan diketepikan begitu sahaja walaupun beliau tahu kedua-duanya penting untuk Johor.

Sikap ini tidak akan bawa apa-apa perubahan sistemik dari segi hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Negeri.

Berlandaskan semangat kerjasama dwipartisan atau bipartisanship di antara pihak kerajaan dan pembangkang, saya telah cadangkan supaya 5 isu utama rakyat dijadikan tema Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Dewan Negeri Johor, iaitu 1) ketelusan dan integriti pentadbiran, 2) pemerkasaan federalisme dan kuasa negeri; 3) hubungan Johor-Singapura; 4) ekonomi dan kesejahteraan Bangsa Johor; dan 5) masalah perubahan iklim dan perancangan bandar dan desa.

Datuk Onn Hafiz mengalih pandangan dengan mempertikaikan keikhlasan pihak pembangkang tanpa berani mengemukakan sebarang hujah.

Adakah Datuk Onn Hafiz benar-benar bersedia untuk menjalin kerjasama dwipartisan demi kesejahteraan Bangsa Johor atau masih menganggap pihak pembangkang sebagai musuh?

Malah, beliau juga tidak memberi sebarang penerangan berkenaan dasar dan sasaran ekonominya. Ini bermakna rakyat Johor tidak tahu mengenai hala tuju kerajaan pimpinan Datuk Onn Hafiz untuk melipatgandakan saiz ekonomi Johor menjelang tahun 2030, yang memerlukan sekurang-kurangnya 7 peratus kadar pertumbuhan KDNK setiap tahun.

Menteri Besar Johor perlu meyakinkan rakyat bahawa kadar inflasi tidak akan mencecah 7 peratus untuk tahun ini serta memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai pelan dan idea untuk membantu rakyat mengatasi cabaran inflasi. Kerajaan perlu menjelaskan bentuk persediaan jika kegawatan ekonomi sedunia berlaku.

Usaha melipatgandakan saiz KDNK tidak semestinya bermaksud semua rakyat akan bertambah kaya. Dasar kerajaan memainkan peranan penting untuk memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan memanfaatkan semua.

Saya harap Datuk Onn Hafiz sedar bahawa sebagai Menteri Besar, beliau merupakan harapan rakyat Johor untuk membuka lembaran baru dan menjadi teladan kepemimpinan transformatif. Rakyat ingin tahu tentang dasar, rancangan dan usaha kerajaan untuk memajukan negeri serta meningkatkan taraf hidup mereka. Marilah kita sama-sama berusaha untuk kepentingan dan keperluan rakyat Johor.

Liew Chin Tong

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi