
Hishammuddin harus jawab secara jujur
- 18 September 2022
- Keselamatan, Politik

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mesti menjawab secara jujur dan telus berkenaan tarikh penghantaran kapal LCS yang pertama.
Hishammuddin berulang-kali menyatakan bahawa kapal pertama LCS boleh disiapkan dan dihantar kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dalam tempoh satu atau dua tahun.
Hishammuddin juga mengatakan bahawa kapal pertama tidak memerlukan dana baru daripada kerajaan tetapi enggan memberi gambar sebenar berkenaan dana yang diperlukan untuk menyiapkan lima lagi kapal lain.
Hishammuddin belum lagi menyatakan berapa kapal yang kerajaan berhasrat untuk bina selain daripada menyatakan pembinaan kapal-kapal lain hanya akan ditentukan selepas pembinaan kapal pertama.
Adakah Hishammuddin sedang menyembunyikan fakta berkenaan kos dan suntikan dana baru yang diperlukan selain daripada memberi tarikh penghantaran yang tidak tepat?
Ada udang di sebalik batu?
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang pada 13 September yang lalu telah menyatakan bahawa lima kapal LCS masing-masing akan dihantar pada Januari 2026, September 2026, Mei 2027, Januari 2028 dan September 2028.
Tarikh penghantaran kapal pertama sama dengan testimoni Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Sri Muez Abd Aziz kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (Public Accounts Committee) pada 27 September 2021.
Menurut beliau, selepas BNS selesaikan reka bentuk terperinci (detailed design) dan membayar hutang kepada Naval Group, Naval Group sebagai autoriti reka bentuk (design authority) memerlukan 12 bulan untuk memuktamadkan kerja reka bentuk terperinci.
Pembinaan kapal hanya boleh diteruskan selepas reka bentuk terperinci yang dimuktamadkan. Menurut kontrak asal, reka bentuk terperinci sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016.
Penghantaran kapal pertama dalam setahun atau dua yang dikatakan oleh Hishammuddin ini adalah tidak tepat dan tidak mungkin.
Tarikh yang dikemukakan oleh Panglima Angkatan Tentera adalah jadual paling awal jika program reka bentuk terperinci bermula sekarang dan program pembinaan bermula selepas reka bentuk terperinci dimuktamadkan dalam setahun.
Hishammudin berniat untuk mengelirukan awam apabila beliau mengatakan tiada kos tambahan untuk membina kapal LCS 1. Kerajaan telah membayar BNS RM 6.08 bilion tetapi siling projek adalah RM 9.128 bilion.
Adakah Hishammuddin berhasrat untuk menyalurkan baki RM 3.048 bilion daripada RM 9.128 bilion siling kontrak?
Adakah akhirnya RM 9 bilion dibayar untuk menghasilkan hanya satu kapal?
Apabila Parlimen bersidang pada 3 Oktober 2022, Kerajaan mesti mengemukakan cadangan jadual, kos tambahan dan suntikan dana yang diperlukan untuk membina kapal-kapal LCS. Hishammuddin perlu menjawab soalan-soalan ini dengan jujur dan telus.
Mohamad Sabu
Mantan Menteri Pertahanan
Liew Chin Tong
Mantan Timbalan Menteri Pertahanan
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!