
Berita baik bagi warga Kampung Sungai Perling, Kampung Tuah Jaya dan Kampung Telok Serdang!
- 22 September 2022
- Johor

Ketiga-tiga kampung ini terletak dalam kawasan DUN #Perling. Oleh kerana kampung-kampung ini bukan di bawah kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), mereka tidak diberi perkhidmatan kutipan sampah dan pengurusan sampah.
Namun, ketiadaan perkhidmatan kutipan sampah telah menyebabkan masalah yang lain seperti pembakaran terbuka dan pembuangan sampah ke dalam sungai sehingga menjejaskan kualiti persekitaran malah menyebabkan banjir kilat apabila aliran air dihalang oleh sampah sarap.
Saya telah berbincang dengan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa kami berjumpa pada bulan Jun yang lalu. Dalam surat bertarikh 22 Ogos 2022, saya juga cadangkan kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), SWM dan Datuk Bandar MBIP Dato’ Hj Mohd Hafizz bin Hj Ahmad supaya perkhidmatan kutipan sisa pepejal berbayar ditawarkan kepada para penduduk demi kebersihan alam sekitar dan kesihatan penduduk.
Isu kutipan sampah di kawasan di luar kawasan pentadbiran PBT ataupun di kawasan dengan isu hakmilik tanah telah lama membelenggu penduduk dan merupakan masalah yang menjejaskan kampung-kampung di seluruh negara, bukan sahaja di DUN Perling.
Kerajaan negeri harus menawarkan mekanisme kutipan sampah yang berkesan bagi kawasan seperti ini supaya kualiti hidup penduduk terjamin.
Sebagai contoh, PBT boleh menempatkan tong sampah berpusat (diletakkan di lokasi tertentu di tepi jalan utama) seperti yang dijayakan oleh Ahli Majlis dan Ketua Masyarakat Kampung Sin Lik dan Kampung Kangkar Bahru dengan kerjasama Majlis Daerah Yong Peng dan SWM pada tahun 2019.
Selain itu, kerajaan negeri juga boleh memberi bantuan kewangan secara sistematik kepada PBT untuk menguruskan sampah di kawasan kampung.
Saya gembira dan bersyukur apabila menerima balasan surat daripada pihak MBIP bahawa pihak berkuasa kini merancang untuk membuat pengukuran bagi mendapatkan inventori bagi ketiga-tiga Kampung Sungai Perling, Kampung Tuah Jaya dan Kampung Telok Serdang supaya dapat memulakan perkhidmatan kutipan sampah. Terima kasih atas tindakan pantas daripada pihak berkuasa.
Saya berharap agar pihak MBJB juga mengambil tindakan yang sewajarnya bagi isu kutipan sampah, termasuk di Kampung Orang Asli Sungai Temon yang juga terletak di dalam DUN Perling.
Marilah kita bersama membina negeri Johor yang indah dan sejahtera.
Kongsikan artikel ini
Artikel Berkaitan


- 2 Jul 2022·
Menteri Besar perlu nyatakan dengan jelas pendekatan ekonomi Kerajaan Negeri

- 20 Jun 2022·
Tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Menteri Besar JB
Sertai Kami
Bersama kita mencetus perubahan!
Untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah mencipta sejarah. Teruskan perjuangan!