Teks Ucapan Ketua Pembangkang Johor Liew Chin Tong 4.12.2022

(Bahagian 1)

Terima kasih, Yang Berhormat Datuk Speaker. 

Selaku Ketua Pembangkang merangkap ADUN Perling, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk membahasakan Belanjawan 2023 yang baru dibentang oleh Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar. 

Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar kerana telah menyampaikan ucapan pembentangan Belanjawan buat julung kalinya. Namun, saya berpendapat ucapan Belanjawan ini kurang menyentuh keadaan politik baru yang sebenarnya  boleh menjayakan Belanjawan ini dan membuka lembaran baru demi pembangunan Johor. 

Walaupun banyak inisiatif telah diumumkan, Kerajaan Negeri boleh melakukan yang lebih baik lagi dengan memberikan tumpuan melalui iltizam politik yang tinggi terhadap isu-isu berikut: 

Pertama, perubahan iklim dan banjir 

Kedua, perumahan 

Ketiga, pelaburan dan pekerjaan

Keempat, pengangkutan awam 

Kelima, Greater Johor Bahru

Saya memulakan dengan keadaan politik pasca pilihan raya umum ke-15. 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada rakan saya Yang Berhormat Ahli Simpang Jeram yang telah menang di kawasan Parlimen Pulai dan dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup.  

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Ahil Benut yang telah menang di kawasan Parlimen Simpang Renggam. 

Pakatan Harapan yang turut merangkumi Parti Muda merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang memberi sokongan padu bagi mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan di 15 kerusi daripada keseluruhan 26 kerusi Parlimen di Johor. Seramai 825,182 pengundi Johor memberi sokongan kepada Pakatan Harapan pada PRU ke-15, berbanding dengan hanya 367,525. Terima kasih kepada semua pengundi Pakatan Harapan. 

PRU ke-15 juga telah membuka lembaran baru di peringkat Persekutuan. Pakatan Harapan bersama Barisan Nasional telah menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri ke-10 Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan Perpaduan ini dibentuk berasaskan persefahaman dan kerjasama antara parti-parti yang bersaing dalam pilihan raya umum yang lalu. Ini memberi peluang unik kepada negara  kita yang akan membolehkan kita kembali kepada landasan wasatiyah dan majmuk. 

Persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan ini mampu membawa Malaysia menuju ke era baru. 

Sehubungan dengan itu, Pakatan Harapan Johor yang komited serta bersikap terbuka mencadangkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan dalam usaha memastikan rakyat mendapat manfaat sepenuhnya, terutama dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat. 

Pada masa yang sama, Pakatan Harapan Johor  menerima keputusan pilihan raya negeri pada bulan Mac lalu yang memberikan Barisan Nasional kekuatan majoriti dua pertiga di dalam Dewan Negeri. Dengan itu, kami tidak akan mencadangkan apa-apa perubahan dalam komposisi Eksekutif Kerajaan Negeri. 

Dengan mengambil kira keputusan PRU ke-15 dan persefahaman yang membolehkan wujudnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, Pakatan Harapan Johor dengan  rendah diri mencadangkan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar dan Kerajaan Negeri agar memperkukuhkan kerjasama dwipartisan di antara Kerajaan Negeri dan Pembangkang Dewan Negeri Johor demi kesejahteraan Bangsa Johor. 

Yang Berhormat Ahli Benut dalam ucapan beliau selaku Menteri Besar pada tahun 2020 menggariskan peranan pihak pembangkang sebagai “rakan strategik” Kerajaan Negeri. Saya setuju dengan saranan beliau dan saya harap semangat menerima pihak pembangkang sebagai “rakan strategik” boleh direalisasikan di semua peringkat di Negeri Johor. 

Kerjasama di antara Kerajaan Negeri Johor dan pihak Pembangkang boleh dilakukan melalui sistem dan mekanisme demokrasi Dewan Negeri terutamanya dalam Jawatankuasa-jawatankuasa Dewan di mana penyokong atau backbenchers Kerajaan dan ahli-ahli Pembangkang duduk semeja untuk mencari penyelesaian kepada masalah rakyat. 

Semasa sidang DUN pada bulan Jun, saya telah mencadangkan supaya Jawatankuasa-jawatankuasa berikut dipertimbangkan penubuhannya oleh Kerajaan Negeri, iaitu:

  1. Jawatankuasa Pilihan Masalah Iklim, Perancangan Bandar, dan Luar Bandar; 
  1. Jawatankuasa Pilihan Kerjasama Johor-Singapura;
  1. Jawatankuasa Pilihan Pemerkasaan Federalisme dan Kuasa Negeri;
  1. Jawatankuasa Pilihan Ekonomi dan Kesejahteraan Bangsa Johor

Saya difahamkan bahawa ada jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan oleh Dewan yang mulia ini pada sesi bulan Jun belum lagi memulakan persidangan masing-masing. 

Saya harap Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat Speaker menegur bagi  memastikan jawatankuasa-jawatankuasa Dewan bersidang dan memainkan fungsi yang ditetapkan sepenuhnya. 

Sebagai contoh, Jawatankuasa Pilihan Impak Pertambahan Pengudi harus dijadikan keutamaan dwipartisan di Dewan ini. Kawasan Perling mempunyai 101,263 pengundi manakala kawasan Kota Iskandar, sebuah kawasan yang diwakili Barisan Nasional, mempunyai 116,415 pengundi. 

Untuk memberikan perwakilan yang lebih berkesan kepada pengundi di Greater Johor Bahru, Jawatankuasa Pilihan yang telah diwujudkan harus bersidang dan memberi laporan kepada Dewan yang mulia ini pada sidang yang akan datang supaya tindakan boleh diambil secara dwipartisan. 

Persefahaman di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan juga boleh diwujudkan di peringkat Parlimen. Saya mencadangkan kepada Ahli Benut selaku Pengerusi Barisan Nasional Johor bahawa satu Kaukus (caucus) Ahli-ahli Parlimen Johor ditubuhkan dengan penglibatan 24 Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. 

Kaukus ini boleh dibantu oleh Kerajaan Negeri Johor melalui taklimat dan maklumat supaya semua Ahli-ahli Parlimen dimaklumkan secara terperinci keperluan dan permintaan Negeri Johor kepada Kerajaan Persekutuan. 

Mekanisme ini akan membolehkan Johor diberikan tumpuan dan keutamaan oleh Kerajaan Perpaduan Persekutuan demi pembangunan dan kemajuan Bangsa Johor dan menjayakan Belanjawan ini. 

Adalah diharapkan bahawa kerjasama dan persefahaman ini boleh merealisasikan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar pada sidang bulan Jun agar keseimbangan baru diwujudkan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaaan Negeri, dan pemusatan kuasa di pusat dikurangkan.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengapa keselamatan ekonomi penting untuk Malaysia?

Saya bersyukur kerana telah diberi peluang untuk berucap di Maktab Ketahanan Nasional (MKN) di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas). MKN adalah sebahagian daripada program pendidikan ketenteraan profesional di Malaysia. Tidak…
Baca Lagi

Adakah Malaysia berada di ambang lonjakan kedua?

PADA tahun 1960, seorang pakar ekonomi Amerika Syarikat, Walt Rostow, mengemukakan teorinya tentang proses pertumbuhan ekonomi bagi sesebuah negara. Menurutnya, ia perlu melalui beberapa tahap, dan di peringkat pertengahannya, merupakan tahap…
Baca Lagi