Tatanan politik baharu Malaysia, selepas setahun

Setahun yang lalu, rakyat Malaysia telah mengundi pada pilihan raya umum dalam suasana yang tidak menentu tanpa sesiapapun dapat meramalkan keputusannya. Tiga gabungan parti politik pernah berpengalaman duduk dalam kerajaan, dan setiap satunya ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Yang pasti, tidak ada satu gabunganpun mampu menjadi kerajaan tanpa kerjasama dengan yang lain.

Walaupun sukar meramalkan siapa akan menjadi kerajaan, seperti yang dijangka, tiada gabungan cukup kerusi untuk membentuk kerajaan selepas keputusan PRU pada 19 November 2022. Takdir menentukan bahawa gabungan kerusi Pakatan Harapan (82) dan Barisan Nasional (30) cukup sebagai nombor ajaib 112, iaitu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Selepas lima hari rundingan di puncak kuasa, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 24 November untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Saya telah menerbitkan kertas kerja dengan Yusof Ishak Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) pada Januari 2022 bertajuk “Malaysia on the cusp of a new political order” yang memaparkan tentang tatanan politik negara sejak Merdeka, iaitu:

Era pelbagai kaum kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1957-1969);

Era Barisan Nasional pimpinan UMNO yang mengutamakan peningkatan taraf hidup kelas menengah Melayu (1970-1990);

Era di bawah slogan Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia dalam bentuk nasionalisme Malaysia yang lebih menyeluruh (1991-2020); dan

Era UMNO-Barisan Nasional mengubah haluan ke arah politik kanan serta mula ditolak oleh orang Melayu, dan kebangkitan Pakatan Rakyat (dan kemudiannya Pakatan Harapan) yang memenangi undi popular tetapi gagal membentuk kerajaan.

Setiap tatanan politik ini dapat bertahan lebih sedekad walaupun tidak menjangkaui 20 tahun, dan biasanya stabil setiap kali perubahan tatanan sehinggalah ia merosot pada penghujungnya.

Kejayaan sesebuah tatanan politik dalam sejarah Malaysia memerlukan dua prasyarat, iaitu kemampuan untuk memenangi undi semua kaum dan mendapat sokongan parti-parti Sabah dan Sarawak.

Dalam tatanan politik baharu sekarang, bagaimana kita melihat pencapaian Datuk Seri Anwar dan Kerajaan Perpaduan, terutama setelah kedua-duanya menghadapi pelbagai cabaran sepanjang setahun yang lalu?

Pertama, pada 19 Disember 2022, Datuk Seri Anwar telah mendapat sokongan majoriti undi usul percaya di Parlimen.

Kedua, perbalahan dua kumpulan dalam UMNO, satu menyokong Kerajaan Perpaduan manakala satu lagi mahu Tan Sri Muhyiddin Yasson menjadi Perdana Menteri. Pemilihan parti UMNO pada Mac lalu menyaksikan kumpulan arus perdana yang menyokong kepimpinan Anwar telah menang besar.

Ketiga, pilihan raya di enam negeri pada Ogos telah menonjolkan had kemampuan Perikatan Nasional yang hanya mampu berkempen dengan modal yang sama seperti yang dilakukannya pada PRU15. Ia masih menawarkan pengundi untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri manakala kerajaan yang akan ditubuhkannya akan menjadi sebuah “kerajaan Melayu”. Kempennya masih dengan isu-isu perkauman yang mahu menggambarkan Perikatan Nasional sebagai wira Melayu.

Selepas selesai PRN tersebut, dengan kedudukan status quo, idea untuk Perikatan Nasional melakukan satu lagi rampasan kuasa ala Langkah Sheraton sudah tercampak keluar. Juga dengan adanya kumpulan pengundi jalan tengah dalam kalangan orang Melayu dan bukan-Melayu yang menolak politik perkauman, ia semakin menyukarkan agenda Perikatan Nasional untuk kembali berkuasa.

Keempat, Kerajaan Perpaduan menang pilihan raya kecil Pulai dan Simpang Jeram di Johor, dan Pelangai di Pahang, yang membuktikan kekuatan Perikatan Nasional hanya terhad di empat negeri utara Semenanjung serta di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Melayu yang sangat besar.

Kelima, sewaktu PRN serta pada sambutan Hari Malaysia di Kuching, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg mengisytiharkan sokongan Gabungan Parti Sarawak kepada Datuk Seri Anwar untuk terus memimpin Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh Parlimen.

Pada Ogos lalu, saya telah meramalkan sokongan kepada Perikatan Nasional akan merosot, Bersatu bakal tenggelam manakala PAS akan terus mengukuhkan kedudukannya di Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Tidak mustahil, PAS tidak akan memerlukan Bersatu lagi sebagai rakan seangkatannya. Malah, PAS juga bakal melihat transisi kuasa daripada Tan Sri Abdul Hadi Awang kepada seorang pemimpin yang lebih muda.

Hari ini ramai orang bersetuju bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar akan kekal sehingga tamat tempoh rasminya, dan peluang Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua semakin kelam.

Malah, Bersatu juga sedang menghadapi pergolakan dalaman yang turut membuatkan PAS memilih Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai penasihat kepada empat negeri pimpinannya. Ini menimbulkan persoalan, mengapa pilih Dr Mahathir dan bukannya Muhyiddin?

Selepas setahun, kebanyakan halangan dan cabaran yang dihadapi tatanan politik baharu ini sudah dapat diatasi. Datuk Seri Anwar dan Kerajaan Perpaduan telahpun memenuhi dua kriteria yang menjamin hayat tatanan politik, iaitu memenangi undi semua kaum dan mendapat sokongan parti-parti Sabah dan Sarawak.

Cabaran masa kini untuk Kerajaan Perpaduan adalah: Adakah ia mampu melaksanakan lonjakan kedua ekonomi negara yang dapat menjadi asas tatanan politik baharu bagi membina semula Malaysia untuk kesejahteraan semua.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia

Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 adalah melahirkan kelas pertengahan orang Melayu. Momen Tun Razak Dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua,…
Baca Lagi

Momen Tun Razak: Peluang Untuk Reset

Saya amat berbesar hati mendapat jemputan untuk menyampaikan ucapan kepada peserta kursus ketahanan nasional Kohort Kelima Maktab Ketahanan Nasional (MKN). Maktab ini menyediakan kursus kepada pegawai kanan tentera yang berpangkat…
Baca Lagi