Teks ucapan ADUN Perling bagi membahaskan Belanjawan Negeri Johor 2024

  1. Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, patik mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena pengisytiharan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. 
  1. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri Machap atas kurniaan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ), oleh Tuanku Sultan baru-baru ini. 

Kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Pihak Pengimbang

  1. Saya mengalu-alukan persahabatan di antara pihak Kerajaan Negeri, terutamanya YAB Menteri Besar, dengan pihak Pengimbang. Saya juga mengalu-alukan kesudian YAB Menteri Besar menerima idea-idea yang dibangkitkan oleh ahli-ahli Pengimbang dalam sesi pra-Belanjawan. Semoga tahap kerjasama yang lebih erat di antara parti-parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan di Persekutuan dapat dicontohi dan dicapai di peringkat Negeri Johor demi kemajuan Johor Darul Ta’zim. 
  1. Saya dimaklumkan bahawa Ahli Kukup telah melahirkan rasa bimbang dengan keikhlasan pihak pemimbang. 
  1. Prinsip-prinsip kami jelas:
  • Pertama, kita berada dalam satu kerajaan yang sama di peringkat Persekutuan, maka sebanyak mungkin, pihak pengimbang cuba membantu Kerajaan Negeri yang diterajui Parti Barisan Nasional yang juga rakan dalam Kerajaan Persekutuan. 
  • Kedua, di mana rundingan atau usul yang pihak Pengimbang diberi peluang untuk menyumbang idea, kami bersedia menyokong. 
  • Saya ingin ulangi apa yang telah disebut oleh Ketua Pengimbang tadi bahawa “kami sebagai barisan pengimbang Pakatan Harapan tidak ada masalah menyokong rundingan yang dibawa.” 
  • Dalam konteks ini, saya menyokong cadangan Ahli Dewan Negeri Benut untuk menubuhkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri untuk mencapai konsensus di antara ahli-ahli Dewan.

Perubahan pemikiran ekonomi

  1. Kita berada di ambang era baharu yang berbeza daripada zaman dahulu. Tahun-tahun yang akan datang akan berbeza dengan paradigma 30 tahun lalu, iaitu sejak Tembok Berlin  dirobohkan pada tahun 1989 sehinggalah tahun 2020 apabila dunia dilanda pandemik Covid-19. Secara ringkas, tiga perubahan yang ketara dari segi permikiran ekonomi sedang berlaku, dan ini memerlukan lonjakan paradigma sebagai jawapan. 
  1. PERTAMA, logik zaman dahulu adalah pengeluaran mengikut amalan “just-in-time”, tetapi sekarang sudah berubah menjadi “just-in-case”. Ini bermakna syarikat tidak lagi hanya mementingkan kecekapan tetapi juga memberi tumpuan terhadap keselamatan rantaian bekalan.
  1. Perubahan ini memberi peluang kedua kepada Malaysia untuk sekali lagi membangunkan industri kita selepas mengalami premature deindustrialisation sejak penyertaan China ke World Trade Organisation atau WTO pada tahun 2001. Perubahan ini juga menjadi asas kepada hubungan ekonomi baharu di antara Johor dan Singapura. 

Special Economic Zone  

  1. Kesediaan Kerajaan Malaysia dan Singapura untuk membentuk Special Economic Zone (SEZ) adalah usaha yang sangat dialu-alukan dan akan memberi suntikan pelaburan kepada Johor serta membantu Singapura menangani kenaikan kos perniagaan dan kos perumahan.
  1. Untuk meraikan kerjasama ini, adalah dicadangkan agar  Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Singapura menyambut ulang tahun ke-seratus Tambak Johor yang dirasmikan oleh Almarhum Sultan Ibrahim pada 28 Jun 1924. 
  1. Untuk menjayakan SEZ, adalah dicadangkan supaya:
  • Satu kajian pengangkutan yang menyeluruh dilakukan bersama oleh Malaysia dan Singapura, dan merangkumi keadaan pengangkutan rentas sempadan Greater Johor Bahru dan Singapura. 
  • Pengangkutan awam di Greater Johor Bahru perlu mempunyai sasaran yang lebih tinggi supaya menjana impak positif untuk rakyat. Saya harap Kerajaan Negeri boleh menyasarkan 50 peratus perkongsian “modal share” pengangkutan awam di Greater Johor Bahru dalam tempoh sepuluh tahun. Pengangkutan awam di Greater Johor Bahru haruslah multi-modal, iaitu menggunakan pelbagai mod pengangkutan termasuk perkhidmatan bas. Pembinaan infrastruktur seperti BRT atau LRT harus mengambil kira pergerakan orang ramai di paksi melintang (horizontal axis) dari Pasir Gudang ke Link Kedua, terutamanya selepas perkhidmatan RTS bermula. Saya mengalu-alukan peruntukan sebanyak RM26.5 juta untuk Bas Muafakat Johor. Dicadangkan separuh daripada peruntukan ini digunapakai untuk on demand buses (perkhidmatan penempahan melalui app seperti Kumpool) supaya permintaan dan penawaran (demand and supply) boleh diselaraskan.
  • Perkhidmatan feri di antara Pasir Gudang dan Changi, Puteri Harbour dengan Tuas, dan Forest City dengan Tuas, harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah kenderaan dan seterusnya kesesakan jalan raya. 
  • Lebih banyak usaha diperlukan untuk menyelaraskan pentadbiran di empat PBT di Greater Johor Bahru, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai. Walaupun keempat-empat PBT ini ada pengurusan yang berlainan, untuk manfaat rakyat dan juga mereka yang datang dari luar negeri, pengurusan Greater Johor Bahru termasuk parkir, landscaping, jalanraya, dasar untuk kawasan industri, haruslah diselaraskan. Dicadangkan satu portfolio baru bernama “Greater Johor Bahru” ditambah ke atas tugas-tugas Exco Kerajaan Tempatan untuk memastikan perkembangan pesat yang dijangka akan berlaku di Greater Johor Bahru dapat diuruskan dengan baik.  
  • Perancangan untuk menjadikan Ibrahim International Business District sebagai Central Business District (CBD) dan hab perniagaan antarabangsa yang berdaya huni sangat dialu-alukan. Dicadangkan bahawa CBD ini harus memudahkan pejalan kaki, iaitu bersifat walkable dengan kemudahan universal access supaya semua warga kota dapat berjalan dengan selesa di kawasan ini. Juga, dicadangkan bahawa satu kajian oleh pakar perancang bandar dilaksanakan terhadap waterfront dari Stulang Laut ke Danga Bay supaya laluan basikal dan juga laluan pejalan kaki boleh diwujudkan sepanjang 8 kilometer tersebut.

Keselamatan ekonomi dan keterangkuman ekonomi

12. KEDUA, faktor keselamatan dan keterangkuman ekonomi kini menjadi lebih penting, termasuk memastikan jurang pendapatan dikawal dan dikurangkan. 

13. Kita harus sentiasa mengingatkan diri bahawa semua langkah dan keputusan ekonomi yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor mesti menjurus ke arah menjana pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang berpatutan, dan memberi lebih banyak peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat tempatan. 

14. Ada orang tidak faham kenapa, walaupun kadar inflasi begitu rendah sekarang, iaitu 1.8% pada bulan Oktober, masih ramai rakyat yang rasa terbeban dengan kos sara hidup. Isu pokoknya adalah kerana tahap gaji rakyat Malaysia terlalu rendah. 

15. Gaji pertengahan (median wage) Malaysia pada 2022 adalah RM2,424 sebulan dan gaji pertengahan sektor pembuatan (manufacturing median wage) adalah RM2,205 sebulan. Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mempunyai sasaran untuk meningkatkan gaji pertengahan sektor pembuatan dengan kadar pertumbuhan 9 peratus setahun kepada RM4,510 sebulan menjelang tahun 2030. Diharapkan Kerajaan Negeri akan mengambil kira sasaran ini dan memastikan semua pelaburan ke Johor mesti mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi selari dengan sasaran ini.

16. Satu lagi lonjakan paradigma berkenaan Centralised Labour Quarters (CLQ) atau penginapan untuk pekerja asing. Untuk masa depan, kita tidak mahu sektor pembuatan yang hanya bergantung kepada ramai pekerja warga asing. Kerajaan Negeri dan PBT boleh memberi galakan insentif kepada pengurus kawasan industri untuk membina kemudahan penginapan yang selesa untuk jurutera dan juruteknik tempatan, dan juga menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak demi menggalakkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi. 

Dasar penyewaan rumah

17.  KETIGA, semakin banyak pihak memahami bahawa bukan semua benda dalam kehidupan boleh diuruskan oleh mekanisme pasaran, dan risiko over-financialisation perlu ditangani. 

18. Salah satu idea yang penting ialah bukan semua orang perlu membeli dan memiliki rumah. Falsafah pembangunan perumahan kita harus beralih daripada pemilikan rumah kepada penghunian. Mereka yang mampu boleh memilih untuk memiliki rumah, majoriti yang lain boleh menyewa. Pilihan untuk menyewa bukan hanya kepada mereka yang miskin. Penyewaan oleh kelas pertengahan terutamanya golongan muda akan membantu memenuhi keperluan perumahan. Penyempurnaan proses dan perundangan untuk melindungi hak kedua-dua pihak pemilik dan penyewa rumah harus diberikan tumpuan. Dicadangkan satu enakmen sewaan rumah dirangka. Dengan perlindungan enakmen dan tumpuan terhadap penyewaan, kawasan-kawasan yang mempunyai lebihan stok perumahan seperti Forest City boleh dihuni oleh lebih ramai orang. 

Cukai taksiran

19. Saya juga setuju dengan cadangan Ketua Pengimbang bahawa sebarang kenaikan cukai taksiran tidak harus melebihi 15% supaya tidak menjadi beban kepada rakyat.

Saya akhiri ucapan ini dengan serangkap pantun:

Negeri Johor rakyatnya sejahtera 

Darul Ta’zim indah namanya

Kerjasama amalannya setara 

Budaya baik mulia adanya 

Sekian, terima kasih.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Mengukuhkan Kerjasama Ekonomi ASEAN Melalui RCEP

Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) merupakan perjanjian perdagangan yang terbesar di dunia. Ia merangkumi banyak negara, termasuk angota-anggota ASEAN bersama dengan China, Jepun dan Korea Selatan. Untuk mewujudkan RCEP, ia…
Baca Lagi

Perlu Anjakan Paradigma untuk Jayakan JS-SEZ

Menjunjung kasih atas titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor yang telah merasmikan sidang Dewan Negeri Johor. Tunku menitahkan “adalah menjadi keutamaan saya untuk…
Baca Lagi

Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia

Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 adalah melahirkan kelas pertengahan orang Melayu. Momen Tun Razak Dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua,…
Baca Lagi