Momen Tun Razak: Peluang Untuk Reset

Saya amat berbesar hati mendapat jemputan untuk menyampaikan ucapan kepada peserta kursus ketahanan nasional Kohort Kelima Maktab Ketahanan Nasional (MKN). Maktab ini menyediakan kursus kepada pegawai kanan tentera yang berpangkat Brigadier Jeneral dan Kolonel serta yang setaraf dengan mereka. Matlamatnya adalah untuk menambah ilmu serta meluaskan ruang pemikiran bagi menggalakkan setiap peserta berfikir dan bertindak sebagai seorang negarawan.

Ini adalah kali kelima saya terlibat dalam program MKN. Saya memberi ucapan buat kali pertama kepada Kohort Pertama pada September 2019 sewaktu saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan. Kali kedua, sewaktu perintah kawalan pergerakan ketika pandemik Covid-19, saya berucap kepada Kohort Kedua pada Januari 2021, walaupun ketika itu parti yang saya wakili berada dalam gabungan Pembangkang. Kali ketiga dan keempat, saya berucap kepada Kohort Keempat dan peserta Kursus Pendek Eksekutif MKN, masing-masing pada September dan Oktober 2023.

Untuk Kohort Kelima MKN, topik ucapan saya adalah “Memimpin Negara: Kepimpinan Strategik Sebagai Elemen Kuasa Nasional – Ke Arah Malaysia Yang Lebih Baik dan Berjaya”.

Saya percaya bahawa peranan pemimpin yang strategik bukanlah untuk menguruskan segala-galanya atau “micromanage”, sebaliknya perlu berusaha gigih menjadi jambatan kepada masyarakat dalam melaksanakan transisi daripada masa lampau kepada masa hadapan, dan daripada keadaan sekarang kepada masa hadapan yang lebih baik.

Di Malaysia, kita pernah ada apa yang saya katakan sebagai Momen Tun Razak, iaitu era di mana Tun Razak Hussein selaku Perdana Menteri kita yang kedua mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Bermula dari tahun 1970 dan seterusnya, ekonomi Malaysia berubah daripada ekonomi pasaran bebas yang diamalkan zaman Tunku Abdul Rahman kepada pendekatan dasar pembangunan negara, iaitu dengan peningkatan peranan kerajaan dalam ekonomi. Usaha ini banyak membantu masyarakat Melayu.

Lima puluh tahun lalu, Tun Razak membuat lawatan rasmi yang pertama ke China untuk memulakan hubungan diplomatik dengan negara itu. Di peringkat tempatan, detik bersejarah ini berjaya menarik sokongan kaum Cina di Malaysia yang sebelum ini kritikal dengan kerajaan untuk menyokong pentadbiran Tun Razak.

Dengan kejayaan diplomasi dan politik ini, ditambah pula dengan pembangunan ekonomi, Momen Tun Razak membuktikan bahawa kita sebenarnya mampu untuk menggabungkan politik, dasar luar dan dasar ekonomi bagi menjayakan lonjakan kedua buat Malaysia.

Kita mempunyai potensi yang besar untuk mengembangkan idea Bangsa Malaysia, atau apa yang saya gelar sebagai nasionalisme Malaysia, iaitu dengan memperkukuhkan demokrasi, membina keselamatan dan inklusiviti ekonomi, memodenkan sektor pertahanan dan keselamatan, dan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang sewajarnya di persada global.

Saya penuh yakin bahawa dalam kalangan pegawai kanan tentera yang dilatih di MKN tentu ada antara mereka yang bakal muncul sebagai negarawan serta rakan kongsi kepada usaha bina negara Malaysia.

Di majlis itu, saya menghadiahkan Maktab dengan dua naskah buku, iaitu Leadership: Six Studies in World Strategy oleh Henry Kissinger dan Conflict: The Evolution of Warfare from 1945 to Ukraine oleh General David Petraeus dan Andrew Roberts. Kedua-dua buku ini penting sebagai rujukan kepada sesiapa yang berminat dengan sejarah semasa.

Saya juga berterima kasih kepada Komandan MKN Mejar Jeneral Datuk Johnny Lim yang sudi menjemput saya serta menghadiahkan “coin” cenderahati peribadi miliknya serta “coin” Maktab di samping memberi layanan yang baik.

Kongsikan artikel ini

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Artikel Berkaitan

Lonjakan Kedua Ekonomi Malaysia

Kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 adalah melahirkan kelas pertengahan orang Melayu. Momen Tun Razak Dasar yang diperkenalkan oleh Tun Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua,…
Baca Lagi

Momen Tun Razak: Peluang Untuk Reset

Saya amat berbesar hati mendapat jemputan untuk menyampaikan ucapan kepada peserta kursus ketahanan nasional Kohort Kelima Maktab Ketahanan Nasional (MKN). Maktab ini menyediakan kursus kepada pegawai kanan tentera yang berpangkat…
Baca Lagi