Mengenai penglibatan Angkatan Tentera Malaysia

Saya faham, ramai yang bimbang dengan pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri; bahawa Angkatan Tentera akan membantu pihak polis dalam tugas meronda dan memantau, bermula hari Ahad nanti. Saya ditanya dalam satu temubual radio bersama BFM, selepas pengumuman tersebut:

Saya mulakan dengan dua penjelasan:

Pertama, saya bukan sebahagian daripada kerajaan ini justeru tidak mempunyai maklumat tentang proses fikir menteri, jadi saya tidak berkeinginan untuk mempertahankan beliau.

Kedua, mengaturgerak tentera bagi membantu polis bukanlah kesalahan. Ketika bencana banjir, angkatan tentera turut dikerah. Jadi tiada salahnya mengaturgerak mereka.

Tetapi saya rasa adalah malang sekiranya kerajaan dan masyarakat kita berfikir bahawa angkatan tentera hanya mampu membuat rondaan. Mesej utama saya ialah, sebagai sebuah kerajaan, masyarakat dan negara; terutamanya pada keadaan krisis ini, kita perlu tahu kemampuan penuh yang dimiliki tentera dan mengaturgerak kesemuanya secara efektif.

Kini kita perlu bersedia untuk keadaan terburuk, bagi mendapat hasil terbaik dalam keadaan krisis sebegini. Kita mesti bersedia berdepan kemungkinan senario seperti di Itali bagi mengelak melalui nasib yang sama. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Tugas paling penting bagi Angkatan Tentera secara keseluruhan, bukan sahaja Tentera Darat tetapi Laut dan Udara juga; adalah untuk membangunkan kerangka senario dengan menjangkakan Malaysia mencapai 3000 kes, 5000 kes, 10,000 kes dan seterusnya. Pada tahap itu, pihak berkuasa awam sahaja tidak akan mampu menanganinya.

Angkatan Tentera adalah ibarat ‘kerajaan dalam kerajaan’ dengan kor-kor kesihatan, jurutera, unit CBRNe (kimia, biologi, radioaktif dan bahan letupan nuklear) dan lain-lain. Kesemua aset ini boleh diaturgerak apabila berlakunya krisis. Peranan utama Angkatan Tentera ialah untuk bersiap siaga dan berperang. Operasi ketenteraan selain peperangan (Military Operations Other Than War, MOOTW), seperti bantuan bencana alam, ialah peranan sekunder Angkatan Tentera.

Angkatan Tentera dilatih untuk menangani segala macam kemungkinan dan menyediakan segala jenis respons yang mungkin, tentunya, di bawah panduan dan arahan pihak berkuasa awam.

Berikut adalah beberapa peranan yang boleh dimainkan ATM sepanjang krisis ini:

a) Membantu pihak berkuasa awam sekiranya wujud keperluan untuk kawalan atau penguatkuasaan kawalan pergerakan yang lebih tegas;

b) Hospital tentera wajar menyediakan katil dan wad  tambahan bagi membantu kapasiti hospital kerajaan. ATM mungkin perlu menyediakan kawasan pengurusan mangsa bagi membantu menapis kes-kes yang ditentukan oleh bahagian triaj bagi mengelak daripada membebankan hospital awam dan tentera;

c) Rejimen Askar Jurutera Diraja boleh diaturgerak untuk membina struktur-struktur sementara untuk kegunaan kecemasan;

d) Pengangkutan tentera dan kebolehan logistik yang lainnya boleh diaturgerak sekiranya ada keperluan bagi memastikan rantaian bekalan tidak terputus. Untuk kawasan yang sukar dicapai, kemampuan pengangkutan perubatan tentera boleh terus membantu pihak berkuasa dalam proses evakuasi jika diperlukan;

e) Sekiranya perlu, 12 Skn RAJD yang merupakan satu-satunya skuadron Askar Jurutera yang dilatih dan dipersiap untuk CBRNe boleh membantu pihak berkuasa perubatan;

f) Tentera juga boleh diaturgerak untuk usaha-usah nyah-jangkitan;

g) Sekiranya keperluan tenaga pasukan aktif tidak mencukupi, unit-unit simpanan (misalnya Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Laut dan Pasukan Simpanan Udara) wajar dikerah;

h) Secara am, anggota ATM juga patut menyebarkan informasi kepada orang ramai supaya mereka bermaklumat. Ini seharusnya menjadi salah satu usaha kerajaan yang lebih meluas bagi memastikan setiap agensi dan kementerian terus aktif menyebarkan maklumat kesihatan kepada orang awam.

Sekali lagi, saya ingin tekankan bahawa kita sedang ‘berperang’. Kita tidak pernah melihat sebuah malapetaka global seperti ini sejak Perang Dunia Kedua. Kita harus menggerakkan seluruh sumber yang ada dan bersedia untuk bergerak maju bagi memenangi perang ke atas Covid-19 ini. Dalam konteks tersebut, adalah penting untuk semua pihak mengetahui bahawa Angkatan Tentera mempunyai kebolehan dan kelengkapan yang baik, bukan setakat untuk dikerah sebagai peronda.

Kongsikan artikel ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Artikel Berkaitan

Lima tema untuk Johor bergerak maju

Sebaik sahaja dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor oleh Pakatan Harapan Johor, saya telah menyuarakan hasrat untuk memimpin barisan Pembangkang yang konstruktif. Ini penting untuk membina kerjasama dwipartisan dalam…
Baca Lagi